BREAKING NEWS

Tuesday, 24 January 2017

Guan Eng Perlu Jelaskan Benarkah Pelabur Hilang Keyakinan Pada P.Pinang?


NIBONG TEBAL, 24 Jan – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta untuk menjelaskan penangguhan projek Business Processing Outsourcing Prime (BPO Prime) dan Penang International Technology Park (PITP) dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.3 billion untuk satu tempoh yang tidak dapat dinyatakan dengan alasan kekurangan permintaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata penangguhan pelaksanaan projek tersebut untuk satu tempoh masa yang tidak ditentukan atau “postponed indefinitely” boleh juga dianggap sebagai membatalkan hasrat untuk meneruskan projek.
“Pengunduran atau penarikan diri dari meneruskan pelaburan di Pulau Pinang merupakan tamparan hebat kepada Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agong Dap,” Ujarnya, antara yang terlibat ialah Temasek Holdings iaitu sebuah syarikat pelaburan dari Singapura.
“Justeru itu, saya minta pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan samada penangguhan ini berlaku kerana terdapatnya bekalan berlebihan (over-supply) unit-unit perumahan mewah di Pulau Pinang ataupun kerana pelabur-pelabur sudah hilang keyakinan untuk meneruskan pelaburan mereka di Pulau Pinang ataupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah gagal untuk menarik pelabur-pelabur antarabangsa untuk membuat pelaburan di Pulau Pinang?”
Beliau berkata demikian merujuk kepada artikel yang disiarkan oleh The Edge Markets, “ Penang property projects worth RM11.3b on hold ” (http://www.theedgemarkets.com/my/article/penang-property-projects-worth-rm113b-hold) berkaitan penangguhan projek terbabit.
Menurut laporan artikel berkenaan, projek ini ditangguhkan untuk satu tempoh yang tidak dapat dinyatakan dengan alasan kekurangan permintaan untuk “high quality condominium”.
“Pertama, alasan yang diberikan agak menghairankan kerana projek BPO dan PITP ini sepatutnya dibangunkan dengan tujuan utama sebagai hub perniagaan untuk “business outsourcing” dan bukannya satu projek pembinaan perumahan atau kondominium mewah.
“Kedua, cadangan pembangunan BPO Prime dan PITP mensasarkan pelabur-pelabur dari luar negara untuk melabur di Pulau Pinang dan BPO Prime dan PITP dirancang untuk memberi kemudahan kepada mereka untuk “work, live and play” di situ.”
Sehubungan itu jelasnya, permintaan tempatan untuk “kondo mewah” seharusnya tidak memberi kesan kepada projek ini kerana sasaran kelompok pembeli-pembeli yang berbeza.
Dilaporkan, pada 2014, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Temasek Holding Pvt Ltd menandatangani Perjanjian Persefahaman untuk membangunkan BPO dan PITP ini di mana Economic Development Innovations Singapore Pte Ltd (EDIS) akan bertindak sebagai pengurusa utama projek.
Semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman tersebut, Ketua Menteri Pulau Pinang telah dilaporkan berkata BPO Prime adalah projek kepentingan tinggi dan adalah sebahagian pelan Kerajaan Negeri untuk merubah Pulau Pinang kepada hub “outsourcing” antarabangsa; dan Kerajaan Pulau Pinang berharap untuk menarik lebih banyak pelabur-pelabur antarabangsa ke Pulau Pinang.


 
Copyright © 2014 PenangKini.