BREAKING NEWS

Wednesday, 4 January 2017

JAKIM puji McDonald’s teruskan dasar kek halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuji keputusan McDonald’s Malaysia meneruskan dasar kek halal yang disifatkannya bukan langkah luar biasa.
Ini kerana, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha, dasar yang diperkenalkan McDonald’s itu sudah menjadi amalan di kebanyakan premis makanan rantaian dan diterima rakyat Malaysia.

“Jakim berpandangan polisi yang dibangunkan McDonald’s merupakan inisiatif baik serta komitmen tinggi syarikat itu dalam usaha pengawalan jaminan halal di semua premis McDonald’s berteraskan Sistem Jaminan Halal (Halal Assurance Management System-HAS).
“Polisi seumpama ini bukanlah sesuatu di luar kebiasaan sebagaimana polisi yang sudah menjadi amalan di kebanyakan premis makanan berangkai mengamalkan polisi “No Outside Food Allowed” diterima masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Disember lalu, McDonald’s mengesahkan pelaksanaan dasar hanya membenarkan kek dengan sijil halal dibawa masuk ke premisnya untuk mematuhi garis panduan pensijilan halal Jakim, selepas imej notis mengenai perkara itu tersebar di Internet.
Susulan itu, McDonald’s memohon maaf atas salah faham yang timbul daripada notis kek halal itu, namun menegaskan dasar berkenaan akan diteruskan.

McDonald’s berkata, sebagai syarikat yang memberi perkhidmatan kepada semua lapisan rakyat Malaysia, mereka tidak berniat mewujudkan diskriminasi terhadap mana-mana individu.
Othman berkata, pengeluaran sijil pengesahan halal Malaysia berpandukan manual prosedur pensijilan halal Malaysia (Semakan Ketiga) 2014.

“Ianya mengambil kira keseluruhan rantaian produk dengan pendekatan Halalan Toyyiban yang membawa maksud halal lagi suci, berkualiti dan selamat (food safety).
“Manual ini menggariskan 13 keperluan umum pensijilan yang antara lain menyentuh pensijilan halal bagi premis makanan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.