BREAKING NEWS

Friday, 27 January 2017

Jawatan PM, TPM bukan perkara main-main, kata Rahman Dahlan


Meminta Pakatan Harapan menamakan calon mereka untuk jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri bukan satu “perangkap”, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Ini bukan ‘soalan’ perangkap. Ini persoalan yang penting,” kata menteri di jabatan perdana menteri itu.
“Jika mereka tidak mempunyai kata sepakat sekarang, ia mungkin membawa kepada ketidakstabilan politik yang akan menjejaskan ekonomi dan kebajikan rakyat.”
Rahman mengulas dakwaan Datuk Zaid Ibrahim dalam catatan blog hari ini, mengatakan cuba memerangkap Pakatan Harapan dengan isu calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang menang pilihan raya umum nanti.
Bekas menteri undang-undang itu mendakwa BN memainkan isu itu kerana ia tidak mempunyai sebarang pencapaian yang boleh ditunjukkan kepada rakyat.
Rahman menepis dakwaan itu dengan berkata Zaid barangkali “buta”.
“Semua program ekonomi kami didokumenkan dengan baik. Semua program pendidikan kita diketahui ramai. Semua program sosial memberi kesan kepada rakyat,” katanya, yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.
“Saya harap dia faham sesiapa sahaja yang pembangkang calonkan sebagai PM dan timbalan penting untuk rakyat.


“Keputusan yang dibuat oleh mereka yang menduduki jawatan tertinggi kerajaan itu sudah tentu akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat.”
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz tidak mahu mengulas kenyataan Zaid, yang dianggap “tidak penting”.
“Dia juara lompat ‘katak’ politik,” katanya.
Zaid dalam blognya berkata pemimpin Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menemui pemimpin utama di Sabah dan Sarawak bagi mementukan calon TPM, sekiranya mereka menang pilihan raya akan datang.
“Sekiranya rakyat, terutamanya orang Melayu, merasakan calon yang dipilih sesuai dan boleh diterima, maka jawapannya ‘ya’.
“Jika tidak, calon itu akan ditolak. Tidak perlu kecoh atau berspekulasi,” katanya.
Zaid mengulas kontroversi pertemuan antara Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang baru-baru ini.
Kit Siang dikatakan meminta jawatan TPM dalam pertemuan itu.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan DAP, tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perkembangan itu menunjukkan DAP akan memimpin mana-mana kerajaan PH.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mencabar Kit Siang supaya mengisytiharkan secara terbuka dan akuan bersumpah menyatakan tidak mahu jawatan TPM sekiranya PH menang PRU14.
Bagaimanapun, Zaid berkata cabaran itu tidak perlu disahut.

 
Copyright © 2014 PenangKini.