BREAKING NEWS

Tuesday, 3 January 2017

Jual tanah: Penjelasan Guan Eng tak munasabah, kata Gerakan




Gerakan hairan dengan penjelasan ketua menteri Pulau Pinang yang mengatakan penjualan tanah tidak menyumbang kepada lebihan belanjawan tahunan negeri sejak 8 tahun lalu.
Merujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng semalam, mengenai lebihan terkumpul belanjawan tahunan negeri sejak 8 tahun lalu yang mencecah RM574 juta, Setiausaha Agung Liang Teck Meng berkata penjelasan pemimpin DAP itu tidak munasabah.

“Dalam beberapa bulan mutakhir ini, di dewan undangan negeri, beliau mengumumkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sudah menjual sekurang-kurangnya RM1.94 bilion nilai tanah, manakala kerajaan negeri pula menjual RM760 juta nilai tanah.

“Guan Eng juga mengumumkan RM1.07 bilion nilai tanah di Bayan Mutiara yang dijual pada 2011 dikreditkan ke akaun kerajaan Pulau Pinang,” kata Teck Meng.
Jumlah keseluruhan jualan tanah itu sahaja sudah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan penjelasan Guan Eng, katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam mempersoalkan bagaimana belanjawan negeri boleh mencatatkan lebihan sedangkan Guan Eng akui perbelanjaan tahunan kerajaan negeri melonjak 3 kali ganda daripada RM283 juta pada 2008 kepada RM826 juta pada 2015.

“Guan Eng mengumumkan perbelanjaan akan naik menjadi RM980 juta pada 2016 dan RM1.35 bilion pada 2017, bermakna ada kenaikan 500% dalam perbelanjaan tahunan berbanding 2008.
“Oleh itu, sekiranya hasil tambahan untuk membiaya perbelanjaan kerajaan negeri bukan daripada hasil jualan tanah mahupun aset, mungkin Guan Eng boleh jelaskan sumber hasil yang digunakan untuk menampung perbelanjaan yang naik 3 hingga 5 kali ganda itu, sementara masih mencatatkan lebihan terkumpul RM574 juta?” kata Teck Meng.

Dalam kenyataan semalam, Guan Eng menepis dakwaan pembangkang yang mendakwa lebihan belanjawan kerajaan negeri itu disebabkan penjualan tanah.
Menurut Guan Eng, hanya RM658 juta nilai tanah yang dijual pada 2008 dan daripada jumlah itu RM500 juta dimasukkan ke Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik.
“Hasil keseluruhan kerajaan negeri pada 2008 adalah RM4.9 bilion. Hasil jualan tanah sejak itu mencecah RM658 juta, atau 13%, daripada hasil keseluruhan.

“Daripada RM658 juta, kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta kepada Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kos rendah, kos rendah-sederhana yang berharga bawah RM300,000.

“Dalam erti kata lain, sejak 2008, hanya RM158 juta menyumbang kepada lebihan terkumpul RM574 juta,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.