BREAKING NEWS

Monday, 30 January 2017

Kaji kesesuaian getah untuk turap jalan


Kementerian Kerja Raya akan melakukan kajian merangkumi aspek teknikal dan kos bagi menilai kesesuaian getah sebagai bahan untuk menurap jalan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian tersebut dijangka siap tahun ini dan bertujuan mengukur kekuatan campuran bitumen serta ketulan getah.

“Kita mahu melihat sama ada campuran ketul getah dapat menguatkan lagi jalan dan lebih tahan lama berbanding kaedah konvensional.

“Setakat ini, terdapat indikasi positif terhadap jalan diturap getah sebagai alternatif kepada jalan biasa namun ia bergantung kepada penilaian akhir dari segi teknikal dan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Jom Masuk U! 2017 Sarawak anjuran Halaqah Kemajuan Muslim (HIKAM) di Sekolah Seni Malaysia Cawangan Kuching di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan, jalan raya yang diturap getah akan mula digunakan di negara ini tahun ini.

Fadillah menambah, sebanyak tiga projek perintis jalan diturap getah telah disiapkan antaranya di Negeri Sembilan dan Selangor, masing-masing sepanjang satu kilometer (km).

“Satu lagi projek perintis bagi jalan diturap getah akan dibuat di Pahang selepas ini.

“Sekiranya terbukti bagus turapan ini, kita akan menggunakannya bagi Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, walaupun kos membina jalan diturap getah mungkin lebih tinggi berbanding kaedah konvensional namun ia lebih menjimatkan dari segi penyelenggaraan


 
Copyright © 2014 PenangKini.