BREAKING NEWS

Thursday, 12 January 2017

Kerajaan Persekutuan - Peruntukan RM10.85 juta pulih air Batu Ferringhi



GEORGETOWN - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memperuntukkan RM10.85 juta untuk kerja-kerja pemulihan kualiti air di Sungai Batu Ferringhi dan RM2.2 juta bagi pembinaan struktur tanah lembap di Sungai Satu, di sini.     

Menterinya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya turut menubuhkan pasukan khas bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Jabatan Kesihatan bagi menyelesaikan isu pencemaran di Sungai Batu Ferringhi.
    
"Pantai Batu Ferringhi adalah nadi utama kepada Pulau Pinang dan merupakan pantai yang paling popular di Malaysia dan di Asia amnya. 
  
"Pada tahun 2014, negara dikejutkan dengan isu pencemaran di pantai Batu Ferringhi dan kerajaan persekutuan memandang serius isu ini," katanya dalam teks ucapan pada perasmian projek pemuliharaan pantai dan pembaikan kualiti air laut di Sungai Batu Ferringhi, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hamim Samuri.
Pada Februari 2014, akhbar melaporkan sebahagian air laut di pantai itu bertukar menjadi hitam, dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan dan siasatan awal JAS menemukan elemen bakteria e-coli dalam sampel air yang diambil dari Sungai Batu Ferringhi.

Wan Junaidi berkata projek itu adalah sebuah projek yang unik kerana struktur 'outfall' (terowong air) dan 'wetland' (tanah lembap) itu merupakan struktur pertama seumpamanya dibina di negara ini.

"Dengan adanya struktur 'outfall' dan 'wetland' ini masalah seperti pencemaran sungai dan pantai di Batu Ferringhi, penutupan muara sungai dan hakisan pantai dapat diselesaikan di samping memulihara sungai dan pantai sedia ada di Batu Ferringhi," katanya. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.