BREAKING NEWS

Sunday, 15 January 2017

Kerajaan Pulau Pinang diminta bincang semula dengan nelayan


GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa agar berbincang semula dengan Persatuan Nelayan Pulau Pinang berhubung projek tembakkan laut di Tanjung Tokong.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, sebelum ini mereka tidak pernah dipanggil untuk berbincang berhubung isu itu termasuk isu pampasan.

Menurutnya, nelayan di kawasan itu di ibarat ditindas dengan projek mewah sedangkan hak mereka tidak dipenuhi. "Tambakkan laut yang dijalankan di sini menyebabkan hasil laut semakin berkurangan kerana ekosistem kehidupan terganggu.

Apa yang lebih kami kesalkan, kami langsung tidak dipanggil berbincang dan kami mendapat tahu, ada pihak yang tidak dikenali mewakili kami dalam perbincangan dengan kerajaan negeri. "Selain itu, pampasan yang diberi seperti tidak ikhlas. Mereka beri dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Apabila nak raya, mesti semua orang nak guna duit. Mereka mesti ambil kerana nelayan semua bukan orang senang," katanya.

 Terdahulu, Nazri bersama beberapa nelayan menaiki bot bersama media bagi menunjukkan projek tambakkan laut yang dijalankan. Selepas itu, kira-kira 200 nelayan berkumpul membuat bantahan di Jeti Nelayan Tanjung Tokong terhadap tambakkan laut yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Nazri berkata, mereka juga membantah projek berkenaan kerana ia bukan sahaja melibatkan nelayan di Pulau Pinang malah Kedah juga turut terjejas. "Projek itu juga akan merugikan nelayan dalam jangka masa panjang kerana ia akan mengganggu ekosistem kehidupan laut.

Pampasan sebanyak RM15,000 kepada tekong dilihat tidak mencukupi. Kita mahu pampasan yang memberi impak seperti enjin bot yang lebih besar dan peralatan ke laut. Ini kerana, nelayan perlu keluar lebih jauh untuk menangkap ikan.

"Kos petrol kami melebihi harga sebuah kereta Ferrari. Nelayan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM120 sehari untuk keluar menangkap ikan. Hasil belum pasti dapat, kadang-kadang ada, kadang-kadang hanya dapat sampah sahaja," katanya.

 Menurutnya, seramai lebih 4,000 nelayan di negeri ini akan terjejas sekiranya aktiviti penambakan laut tidak dibendung.

 Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris berkata, pihaknya menggesa agar kerajaan negeri menghentikan pelaksanaan projek tambakan laut kerana mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan nelayan.

 Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, pihaknya kesal apabila kerajaan negeri tidak menghiraukan suara rakyat walaupun bantahan demi bantahan dibuat.

 "Kerajaan negeri langsung tidak peduli dengan rakyat dan masih meneruskan niat mereka. Sehingga kini, mereka belum memberi perhatian serius terhadap pelbagai masalah yang dibangkitkan. "Apa yang membimbangkan, selain ancaman pencemaran laut, kejadian hakisan pantai dan kemusnahan hutan paya bakau akan berlaku di tanah besar.

Oleh itu, kita harap agar kerajaan negeri memberi keutamaan kepada aspek alam sekitar dan rakyat terutamanya nelayan terlibat," katanya. -SH
 
Copyright © 2014 PenangKini.