BREAKING NEWS

Monday, 16 January 2017

KWSP mungkin benarkan keluar caruman beli komputer


Cadangan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan semula mengeluarkan wang daripada akaun kedua bagi membeli komputer akan dibincangkan di peringkat Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Lee Chee Leong berkata beliau akan membawa cadangan itu untuk perbincangan kerana ia dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, setiap tahun Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai sektor untuk mendapatkan maklum balas, idea dan cadangan sebelum proses penyediaan belanjawan negara bagi tahun berikutnya.


Sehubungan itu, katanya input yang diterima mengenai pengeluaran caruman KWSP bagi membiayai pembelian komputer serta permintaan supaya Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) ditukarkan kepada Baucar Buku dan IT 1Malaysia akan dibawa ke meja perbincangan.

“Biarpun masih awal untuk proses penyediaan belanjawan untuk tahun depan namun cadangan ini akan dikemukakan kepada kementerian,” katanya pemberita selepas merasmikan Pameran IT, Buku dan Kasut serta pelancaran Telefon Pintar OPPO R9S di IT Mall@Tasek Square di sini, hari ini.
Kedua-dua cadangan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan IT Mall Perak, Kevin Chang yang meminta kerajaan mempertimbangkan semula pengeluaran wang simpanan KWSP untuk membeli komputer bagi keluarga yang mempunyai anak di institut pengajian tinggi.

Mengenai cadangan penukaran Baucar Buku 1Malaysia itu, Chang berkata kemudahan itu boleh dipanjangkan kepada pelajar yang layak membeli kelengkapan lain termasuk mesin cetak dan gajet lain yang berkaitan.

Pada 19 Ogos 2002, kerajaan memutuskan Skim Pengeluaran Pembelian Komputer (SPPK) KWSP dibatalkan selepas mengesan beberapa kegiatan penyelewengan di bawah skim itu.

 
Copyright © 2014 PenangKini.