BREAKING NEWS

Monday, 30 January 2017

Lagak DAP macam kumpulan samseng

Lagak DAP bagaikan seperti sebuah kumpulan samseng kepada musuhnya ketika cuba mencari perdamaian dengan Pas, dengan sikap yang dipamerkan itu meruncingkan pertelingkahan selain mempersendakan lawan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, DAP tanpa segan silu menghulurkan salam perdamaian dengan partinya hanya melalui media. Sikap itu katanya tidak mempamerkan adab orang yang mahu berdamai.

“Sebelum ini dia putuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Selepas itu hulurkan salam perdamaian kepada Presiden Pas dan kemudian bertekad untuk saman Presiden Pas. Esok entah apa pula pelan dan strategi pemimpin DAP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Beliau mengulas laporan berhubung hasrat Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengarahkan peguamnnya membuat kajian supaya dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi yang mendakwa beliau sebagai anti-Islam.

Jelasnya, seluruh ahli Pas teguh bersama Abdul Hadi dalam menggalas cita-cita perjuangan Islam.

Tambah beliau, ahli-ahli Pas sedia mempertahankan presiden parti untuk berdepan tindakan saman Kit Siang, selain mempunyai bukti kenyataan dan sikap kepemimpinan DAP yang mempersendakan hukum Islam

Sementara itu Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Kit Siang yang mahu menyaman Abdul Hadi dilihat sebagai individu yang kecewa ‘akibat cintanya tidak berbalas’.

“Pemikirannya semakin kacau dan kami tidak nampak hala tuju Kit Siang. Malah dengan tindakan saman itu, Pas tidak nampak wujudnya peluang untuk mengadakan kerjasama dengan DAP. Selama ini Pas sudah dua kali bekerjasama dengan DAP tetapi mereka tetap menentang usaha kami. Saya nasihatkan cukup-cukuplah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.