BREAKING NEWS

Tuesday, 17 January 2017

Mana Maruah DAP & Guan Eng? - Datuk Huan Cheng Guan




Sepanjang Barisan Nasional mentadbir Malaysia sejak hari kemerdekaan negara 1957 lagi, peralihan kuasa melibatkan pemimpin Barisan Nasional cukup berjalan lancar tanpa timbul sebarang masalah. Malah, ada dikalangan pemimpin Barisan Nasional akan berundur jika mereka mendapati, sokongan yang diterima semakin berkurangan.

Lihat sahaja Sarawak yang baru-baru ini sekali lagi menyaksikan pertukaran Ketua Menterinya setelah penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem meninggal dunia. Lihat betapa mudahnya peralihan kuasa tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Namun, dikalangan pembangkang, andai berlaku sebarang peralihan kuasa, ianya berlaku dengan penuh tragedi dan insiden yang mengganggu sistem pentadbiran sesebuah negeri. Lihat sahaja peralihan kuasa Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali di Selangor yang berlarutan lebih 2 bulan sehingga rakyat Selangor turut terheret sama dalam kemelut politik Selangor ini.

Dalam satu lagi situasi, Lim Guan Eng yang masih enggan melepaskan kuasanya walaupun dirinya sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa. Beliau masih berdegil untuk mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang dan seperti tidak mempunyai perasaan malu, beliau bertindak menunding jari kepada pihak lain yang menyebabkan dirinya di hadapkan ke mahkamah.

Bagi Naib Presiden, Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, beliau melihat Lim Guan Eng dan DAP khususnya adalah sebuah organisasi yang langsung tidak mempunyai intergriti dan maruah. Ini kerana, DAP sendiri mahu melihat Guan Eng mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang tanpa memperdulikan apa jua kes yang disabitkan keatas dirinya.

Lebih memburukkan keadaan, rakyat Pulau Pinang terpaksa menanggung kesengsaraan lebih akibat kedegilan Guan Eng dan DAP yang enggan tunduk kepada desakan dan pegangan maruah yang mereka perjuangkan selama ini.

Dalam hal ini, Datuk Huan jelas agak hairan melihat Guan Eng yang mempunyai dua orang timbalan namun, beliau seolah-olah menjadikan dua orang timbalannya sebagai patung. Ini kerana beliau memilih Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai penggantinya, itupun jika beliau disabitkan kesalahan yang sedang dibicarakan sekarang ini.

Andai semua kesalahan ini berlaku di dalam Barisan Nasional, DAP dan Guan Eng sendiri akan sering mempersoalkan, apa tindakan Barisan Nasional terhadap perlaku kesalahan berkenaan seperti mana nasib yang menimpa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo sebelum ini.

Ujar Datuk Huan lagi, andai DAP berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dan intergiriti, DAP pusat harus mengambil satu keputusan konkrit untuk menyingkirkan Guan Eng daripada jawatannya selagi kes yang membabitkan dirinya masih berlangsung. Ini tidak, Guan Eng terus dikekalkan di Pulau Pinang dan bolehlah dianggap sebagai "ikon rasuah" terbesar dalam Malaysia yang masih kekal berkuasa.

Dengan segala tindak tanduk Guan Eng yang menafikan hak timbalannya sendiri untuk mengambil alih kuasa pentadbirannya, Guan Eng mahupun DAP tidak layak langsung untuk membicarakan soal intergriti dan demokrasi. Barisan Nasional sudah berkali-kali membuktikan, jawatan bukan hak milik eksklusif individu, sebaliknya, ianya adalah hak milik rakyat dan parti.

Negeri Sarawak adalah negeri terbaru yang telah membuktikan betapa mudah dan teraturnya peralihan kuasa Ketua Menteri. Inilah yang gagal difahami Guan Eng tentang peralihan kuasa dan pentingnya meletakkan pemimpin yang dipilih untuk mengetuai mereka. Mungkin inilah padahnya apabila meletakkan Guan Eng, seorang anak Melaka yang cuba menjadi Maharaja di Pulau Pinang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.