BREAKING NEWS

Friday, 20 January 2017

Mansuh Tol & GST Sekali Lagi Guan Eng Buat Janji


Gula-gula terus di lontarkan kepada umum bagi memastikan impian DAP menguasai kerajaan persekutuan tercapai.Tanpa banyak soal DAP yang sebelum ini begitu lantang mengkritik apa sahaja perkara berkaitan hak orang Melayu dan kedudukan Islam kini tampil sedikit berbeza apabila PPBM diterima untuk bersama dalam Pakatan Harapan.

Ini merupakan strategi terbaru DAP untuk memperlihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia betapa parti itu yang baru-baru ini dibersihkan oleh Tun Mahathir sebagai parti yang berpegang erat kepada kedudukan perlembagaan negara boleh dipercayai.

Terkini DAP melalui Lim Guan Eng sekali lagi membuat janji untuk memansuhkan semua kutipan tol melibatkan PLUS dan jambatan Pulau Pinang selain turut mahu memansuhkan GST 6% yang diwar-warkan sebagai punca kepada kenaikan kos sara hidup sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU14.

Apa yang Guan Eng terlupa barangkali , janji-janji seperti ini sebenarnya sudah tidak lagi boleh diterima oleh kebanyakkan warga Malaysia kerana DAP pernah membohongi seluruh warga Pulau Pinang dalam isu pemansuhan tol Sungai Nyior.

Setelah 2 penggal mentadbir Pulau Pinang pun , kerajaan DAP Pulau Pinang tidak pernah serius dalam mengotakan janji tersebut sebaliknya mengambil sikap berdiam diri dengan alasan tol Sungai Nyior berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Sejak dari itu tidak ada lagi kesungguhan daripada DAP untuk menyelesaikan apa yang mereka janjikan.

Malah rekod pentadbiran DAP di Pulau Pinang yang lebih banyak memanipulasi angka dan mencipta pembohongan itu bukan sahaja telah merosakkan reputasi mereka tetapi sudah sampai ke tahap dikritik penduduk Pulau Pinang sendiri.

Dalam isu pemansuhan kutipan tol yang kini mula diwar-warkan kepada umum , Guan Eng tidak mengumumkan jumlah keseluruhan kos yang perlu kerajaan tangani apabila proses pemansuhan itu dilakukan.

Untuk memansuhkan kutipan tol PLUS , kerajaan perlu menanggung berbilion-bilion ringgit khususnya dalam membiayai kos penyelenggaraan dan keperluan melibatkan kakitangan dan lain-lain.

Bukankah kos yang perlu dikeluarkan nanti akan turut ditanggung oleh pembayar cukai yang tidak menggunakan lebuh raya bertol berbanding sekarang membayar hanya jika anda menggunakan lebuh raya ?

Malah Guan Eng juga sama ada sengaja atau terlupa bahawa PLUS dimiliki oleh kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan milikan "kroni" atau syarikat swasta seperti mana yang didakwa oleh beliau.

Yang perlu rakyat tahu adalah PLUS kini dimiliki 51 peratus oleh kerajaan dan 49 peratus dimiliki oleh KWSP. Pemilikan KWSP PLUS Highways membolehkan ahlinya untuk menerima pulangan yang stabil setiap tahun daripada aset penjanaan tunai yang matang.

Tanpa PLUS, bagaimana KWSP akan membayar dividen kepada ahli-ahlinya ?

Bolehkah Lim Guan Eng menjawab soalan ini ?

Begitu juga dalam hal membabitkan pemansuhan GST !

Sama ada Guan Eng mahupun Tun Mahatir masing-masing sudah pun mengiakan sekiranya Pakatan Harapan memegang tampuk pentadbiran kerajaan persekutuan GST (walaupun diwar-warkan mahu dimansuhkan) hanya akan ditukar nama kepada SST.

Pertukaran nama sedang kutipan hampir sama tetap akan berlaku memandangkan kerajaan memerlukan dana sebegini untuk menampung kos-kos yang lain.Dan dalam konteks janji Pakatan Harapan ini sudah tentulah kerajaan memerlukan dana bagi menampung kos membabitkan lebuhraya PLUS serta jambatan Pulau Pinang yang mahu dimansuhkan kutipan tolnya.

Seperkara yang perlu rakyat fikirkan adalah sekiranya semua diatas berlaku , apakah dana-dana hasil daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan BN khususnya BR1M akan terjejas ?

Berdasarkan tindak tanduk Pakatan Harapan kita sudah boleh menggagak bahawa BR1M kemungkinan besar akan dimansuhkan seterusnya sebarang bentuk subsidi tidak lagi menjurus kepada pihak yang sepatutnya sebaliknya semua pihak tanpa mengira kedudukan akan menikmati subsidi walaupun mereka dari kalangan kumpulan yang mampu.

Namun Tun Mahathir sudah mengakui bahawa BR1M walaupun dianggap beliau sebagai RASUAH akan diteruskan sekiranya ianya dilihat sebagai satu keperluan pada ketika Pakatan Harapan berkuasa.

Jika itu berlaku agaknya dari mana kerajaan Pakatan Harapan akan mendapatkan dana ?

Janji untuk membawa pulang wang 1MDB yang kononnya dicuri ? Beringatlah ini semua adalah propaganda politik sedang hakikatnya peguam negara sudah pun mengesahkan tidak berlaku sebarang kecurian membabitkan wang 1MDB termasuklah pengesahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB sendiri Arul Kanda.

Atau menjual aset-aset negara seperti mana kerajaan DAP Pulau Pinang menggadaikan satu persatu tanah di negeri tersebut ?

Teliti dan lihat apa yang DAP lakukan di Pulau Pinang , anda pasti sedar apa yang diwar-warkan itu adalah gula-gula PRU14.
 
Copyright © 2014 PenangKini.