BREAKING NEWS

Tuesday, 3 January 2017

Mara Bina MRSM Ke-53 Di Sik, Kedah Tahun Ini

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sik, Kedah pertengahan tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dalam kenyataan hari ini berkata pemilihan tapak pembinaan MRSM itu telah dimuktamadkan dua minggu lepas.

“Projek MRSM baharu ini akan dilaksanakan di satu tapak yang telah dikenal pasti di Dewan Undangan Negeri Jeneri bagi mengimbangi pembangunan Parlimen Sik,” katanya.

Katanya ia merupakan MRSM ke-53 di seluruh negara dan ketujuh di Kedah dan mampu menampung kira-kira 750 pelajar.

Beliau berkata MRSM itu dijangka melaksanakan program Ulul Albab yang merupakan pendidikan integrasi antara program sains tulen dan agama termasuk tahfiz Al-Quran.

“Ia sekaligus menjadikannya MRSM kelima menjalankan program seumpama ini selepas MRSM Gemencheh, Kota Putra, Kepala Batas dan Sungai Besar,” katanya.

Beliau berharap penubuhan MRSM Sik itu akan dapat menyumbang ke arah usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat, profesional, teknorat serta pemimpin dalam pelbagai lapangan perniagaan berteraskan sains, teknologi, agama, kesenian, kejuruteraan dan matematik.
 
Copyright © 2014 PenangKini.