BREAKING NEWS

Tuesday, 24 January 2017

MBPP pergiat tindakan penyitaan


GEORGETOWN - Orang ramai diminta melunaskan tunggakan cukai taksiran berikutan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempergiatkan tindakan penyitaan kepada mereka yang mempunyai tunggakan.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Patahiyah Ismail berkata, tindakan itu akan dipergiatkan tahun ini kepada mereka yang mempunyai dua kali tunggakan dan seterusnya.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya mengambil tindakan ke atas 15 buah rumah yang gagal melunaskan tunggakan cukai berkenaan.

"Tahun lalu, sebanyak 10 kes sitaan dilaporkan. Kita menjangkakan lebih banyak tahun ini kerana tindakan penyitaan akan dipergiatkan. Tahun lalu, sebanyak 70,000 notis tunggakan dikeluarkan melibatkan RM60 juta.

"Ia termasuk RM100,000 untuk komersial dan RM5,00 untuk resedensi. Mengikut rekod, kutipan cukai taksiran yang dikumpul berjumlah RM210 juta dan kita mensasarkan RM216 juta untuk tahun ini," katanya kepada media hari ini.

Patahiyah berkata, bil cukai taksiran separuh tahun pertama (1/2017) telah diposkan dan dijangka pemilik premis menerimanya selewat-lewatnya hujung bulan ini.
"Sekiranya ada pemilik premis yang tidak terima dalam tempoh itu, mereka diminta menghubungi atau mendapatkan salinan bil di kaunter MBPP.

"Pemilik premis diminta menjelaskan bayaran selewat-lewatnya pada 28 Februari ini bagi mengelakkan sebarang notis dibawah Seksyen 147(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Menurutnya, pemilik premis sepatutnya bersyukur apabila MBPP di bawah Kerajaan Pulau Pinang menawarkan pelepasan cukai taksiran untuk pegangan berkadar kos rendah dan kos sederhana rendah.

"Selain tawaran itu, kita juga menawarkan rebat enam peratus kepada semua pegangan berkadar di Pulau Pinang. Dengan itu, kita berpendapat pemilik premis wajar menjelaskan cukai taksiran semasa dan tunggakan.

"Ini kerana, dari hasil cukai ini, pembangunan dapat dipergiatkan selain memperbanyakkan penambahbaikan perkhidmatan MBPP. Selain itu, mereka digalakkan membayar cukai setahun bagi melayakkan tersenarai dalam senarai cabutan bertuah," katanya.

Patahiyah berkata, 100 hadiah bernilai RM25,000 ditawarkan antaranya 18 buah basikal dan 82 baucar tunai bagi pembelian barang keperluan.

"Syarat kelayakan adalah menjelaskan bil cukai taksiran untuk tempoh setahun termasuk tunggakan (jika ada) sebelum 28 Februari ini. Selain itu, mereka perlu merupakan pemilik pegangan sah dan mengemukakan kad pengenalan atau surat wakil (bagi pemilik yang tidak dapat hadir) semasa majlis penyampaian hadiah nanti.

"Untuk tahun lalu, bilangan akaun yang layak berjumlah 21,404 manakala bagi 2015, sebanyak 23,844 akaun dan 19,750 akaun bagi 2014. Sebarang pertanyaan boleh hubungi MBPP di talian 04-2592058/ 04-2592178/ 04-2592342," katanya.

-SINAR HARIAN-
 
Copyright © 2014 PenangKini.