BREAKING NEWS

Sunday, 15 January 2017

MCA sedia tukar kerusi untuk tebus kekalahan di Pulau Pinang

MCA Pulau Pinang tidak akan membantah jika berlaku pertukaran atau pinjaman kerusi melibatkan parti berkenaan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain demi memastikan kemenangannya di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (RU14).
Setiausaha agung parti Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata MCA sangat terbuka dan menerima hakikat parti itu tidak boleh bertanding atas kekuatan sendiri dan memerlukan kerjasama parti komponen lain.
“Kita sudah 2 penggal kalah (di Pulau Pinang). Kita kena menerima hakikat kalau ada kerusi kita dan calon parti komponen lain yang lebih kuat, kita harus iktiraf dan sokong calon itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya perkara serupa juga akan dilakukan MCA sekiranya berasakan calon mereka lebih kuat untuk bertanding di satu-satu kawasan yang sebelum ini ditandingi parti komponen lain.

“…mungkin kita juga nak pujuk mereka (parti komponen) supaya beri peluang kepada (calon) kita (untuk bertanding),” kata Ong yang ditemui selepas merasmikan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota.
Ong yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri ke-2 bagaimanapun berkata setakat ini belum ada keputusan berhubung perkara itu pada peringkat pusat.
Dalam pada itu, beliau berkata MCA negeri sudah menghantar beberapa senarai calon untuk dipertimbangkan oleh pemimpin tertinggi parti dan 50% daripada mereka adalah muka baharu.
“Kami mengenal pasti calon berpotensi dan menyerahkan senarai pertama calon. Kami perlu selidik latar belakang mereka, sama ada mereka bangkrap atau tidak, berkelakuan baik atau tidak, bebas skandal dan sebagainya.
“Selepas itu kami akan umumkan inilah calon-calon kami,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2013, MCA Pulau Pinang dibadai kekalahan teruk apabila tewas di semua 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 4 kerusi Parlimen yang ditandinginya di negeri itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.