BREAKING NEWS

Sunday, 22 January 2017

Nasi Kandar Pelita buka tiga cawangan di Arab Saudi


BUTTERWORTH - Rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita), merancang untuk membuka tiga cawangan restoran itu di Arab Saudi pada tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Sihabutheen Kirudu Mohamed berkata, tiga lokasi cawangan tersebut dengan kerjasama pelabur di Arab Saudi telah dikenal pasti iaitu di Mekah, Madinah dan Jeddah.

"Buat masa ini, kami masih menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang terlibat di sana. Mengikut perancangan, Pelita akan mengeluarkan modal sebanyak 60 peratus manakala selebihnya daripada pelabur di Arab Saudi.

"Setiap restoran, kami memperuntukkan kos pembukaan sebanyak RM3.5 juta hingga RM4 juta dan kami merancang untuk membuka cawangan di Madinah pada April ini, seterusnya di Mekah dan diikuti di Jeddah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Restoran Nasi Kandar Pelita di Taman Chai Leng, di sini menerima kunjungan pemegang amanah kunci Kaabah, Dr Sheikh Soleh Taha As Shaibi yang berada di Malaysia sejak Selasa lepas atas jemputan khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamad Zahid Hamidi.

Sihabutheen Kirudu berkata, menu yang akan dihidangkan di restoran tersebut sama seperti di Malaysia dan pihaknya percaya ia akan menerima sambutan yang baik.

Bagaimanapun, katanya restoran di sana tidak sama dengan cawangan di Malaysia kerana ia lebih kecil dan beroperasi di dalam pusat beli belah.

"Di sana, terdapat kedai makanan Malaysia dan Indonesia tetapi bukan makanan mamak. Oleh sebab itu, kami ingin membawa menu kita ke sana dan orang sana suka bungkus (makanan) balik sebab itu restoran lebih kecil," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengembangkan rangkaian perniagaan di Malaysia dengan membuka dua cawangan baharu di Bandar Sunway dan Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Katanya, kos pembukaan bagi setiap cawangan itu kira-kira RM1 juta dan kedua-dua restoran tersebut akan beroperasi pada Mac dan April ini.

"Pelita juga baru sahaja menerima pengiktirafan Malaysia Book of Record atas kejayaan mempunyai rangkaian restoran nasi kandar paling banyak dalam negara pada Isnin lepas," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 28 cawangan restoran itu termasuk sebuah restoran di Chennai, India. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.