BREAKING NEWS

Friday, 20 January 2017

Nazir Ariff letak jawatan sebagai Presiden FAP

DUA hari sebelum bermulanya saingan Liga Super, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Nazir Ariff Munsyi Ariff telah meletakkan jawatannya berkuat kuasa hari ini.
Pengurus pasukan Harimau Kumbang, Zairil Khir Johari mengesahkan peletakan jawatan tersebut namun berkata perkara itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan.
"Saya telah berjumpa dengan Nazir hari ini dan beliau telah memaklumkan perkara ini dan berharap agar musim baharu dapat dimulakan dengan lembaran yang baharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jawatan presiden yang kini kosong akan disandang sementara oleh Laurence Loh sebagai pemangku presiden dan FAP akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi esok.
Zairil juga berkata itu adalah perkara yang biasa kerana Nazir pernah meluahkan hasrat untuk meletakkan jawatannya sebelum ini pada bulan Oktober selepas berkhidmat lebih tiga tahun dan berjaya membawa pasukan Pulau Pinang daripada Liga Perdana ke Liga Super.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas segala yang telah dilakukan Nazir untuk meningkatkan prestasi bola sepak pasukan Pulau Pinang," katanya.
Sebelum ini, Penolong Pengurus Mohamad Nazim Ariff Nazir Ariff telah meletakkan jawatannya selepas dipinggirkan pihak pengurusan FAP yang baharu dibawah pimpinan Zairil.
Berikutan pengesahan jawatan Zairil sebagai pengurus pasukan, khabar angin bahawa Nazir turut meletakkan jawatannya telah bertiup kencang apabila syarikatnya, Aspen Group tidak lagi menaja pasukan Pulau Pinang. – Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.