BREAKING NEWS

Monday, 16 January 2017

Negara Berkebajikan DAP adalah Konsep Penindasan Rakyat Dengan Percukaian

Konsep Malaysian Malaysia yang pernah diangkat oleh pemimpin PAP Singapura, Lee Kuan Yew – sehinggalah ia mendapat hak kemerdekaan memerintah negara pulau itu – hasil tekanannya yang mahu melaksanakan dasar itu ke atas Tanah Melayu.
Kini Malaysian Malaysia, satu konsep yang mahu mengetepikan hak keistimewaan satu bangsa lain dan hak-haknya sedang dijana secara sistematik oleh DAP, parti serpihan PAP.
Negara berkebajikan, yang tiada pun diambil daripada rukun pembinaan negara Islam, akan diperkenalkan sekiranya Malaysia ini diambil alih oleh DAP kelak. Didalam konsep Negara berkebajikan ini  sistem percukaian akan dinaikan untuk mengimbangi perkhidmatan yang ditawarkan.
Bukan itu sahaja,  sistem percukaian ini adalah bersifat menyeluruh termasuk apa sahaja yang berkaitan dengan perkhidmatan serta kemudahan yang diberikan, begitu juga dengan kenaikan kadar cukai pendapatan individu dan korporat.
Jika dilaksanakan nanti, ia bukan lagi merupakan dasar ekonomi yang membantu kaum-kaum yang susah dan menyeimbangkan kesejahteraan antara kaum seperti yang dilaksanakan dengan jayanya di negara ini.
Perkara yang amat membimbangkan , konsep negara berkebajikan yang mahu dibawa oleh DAP ini akan mengakibatkan perpecahan sosial yang lebih hebat. Jurang kecelaruan sosial akan melebar. Sekarang pun kita sudah dapat melihat gelagat DAP dalam mengambil kesempatan atas isu-isu yang mereka anggap ”boleh memberi peluang politik” seperti isu biasiswa dan sebagainya.
Cuba kita lihat bagaimana sistem percukaian yang membebankan rakyat yang telah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang, semuanya mengalami kenaikan yang mendadak sehingga beratus kali ganda.  Adakah ini satu  amalan terbaik bagi memastikan kesejahteraan rakyat?
Ahli-Ahli Parlimen mereka diseru supaya terus-menerus membangkitkan isu meritokrasi – dalam usaha mengapi-apikan kaum tertentu supaya membenci kerajaan dan bangsa-bangsa tertentu.
Apakah mereka menganggap murid-murid sesuatu kaum itu tidak bijak dan lemah sehinggakan semua biasiswa harus diberi kepada satu kaum lain yang bijak?
Contohnya, jika diikut secara merit: Apakah mereka sanggup melihat murid-murid yang satu itu tidak boleh memperoleh walau satu biasiswa sekali pun kerana kaum yang satu lagi itu semuanya dianggap lebih layak mengikut acuan meritokrasi?
Jika itulah caranya, maka berperanglah negara ini. Ternyata, niat mereka tidak ke arah perpaduan rakyat, tapi memperjuangkan semata-mata untuk sesuatu bangsa – dengan akhirnya kita bimbang ia akan mengetepikan satu kaum, bangsa dan etnik yang lain.
Jika itulah yang mereka perjuangkan, maka percayalah itulah yang akan diterapkan dalam konsep negara berkebajikan tersebut kelak. Malaysia bukan seperti Britain, Jerman, Itali, Sweden atau negara-negara Arab mahupun Brunei yang melaksanakan konsep negara berkebajikan.
Di negara itu, mereka hanya mempunyai satu kaum asas yang besar berbanding dengan kita. Kita mempunyai tiga kaum yang besar, dengan satu kaum asas yang tidak begitu besar dan sering dipertikaikan kedudukannya.
Di negara-negara Barat, kaum asas mereka ialah berkulit putih, manakala yang lain-lain merupakan kaum pendatang, atau pun imigran dari negara-negara lain atau negara yang pernah dijajah oleh kaum asas itu.
Maka itu pembahagian kebajikan itu lebih mudah dilaksanakan tanpa ada rasa marah kerana kebanyakan yang menerimanya adalah kaum asas yang majoriti.
Apa yang mahu kita lihat di negara ini ialah dasar kerajaan yang pragmatik dan berkesan. Dan terbukti dasar kerajaan Malaysia yang dilaksanakan sejak kemerdekaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada kita semua.
Perkhidmatan kesihatan awam yang merupakan antara prinsip utama dalam negara berkebajikan, telah pun diamalkan di negara ini sejak dulu lagi. Rakyat kita menikmati kemudahan itu secara percuma dengan pendaftaran hanya RM1. Begitu juga pendidikan dan lain-lain.
Cubalah pergi ke negara-negara lain, malah ke negara jiran ASEAN sekali pun, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran kita adalah yang terbaik. Apa yang diharapkan kerajaan dapat menambah baik lagi perkhidmatan dan mutunya supaya rakyat dapat menikmati faedah yang lebih besar.
Moto 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebenarnya merupakan satu tamparan kepada pakatan pembangkang, terutamanya DAP dalam soal berkebajikan. Malah konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga cukup memeritkan pihak pembangkang.
Yang peliknya bagi pakatan pembangkang sendiri, walaupun mereka telah memerintah empat negeri – Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan – namun bayang model negeri berkebajikan itu pun tidak nampak?
Apa yang ada Selangor hanya memberi beberapa baldi air percuma, yang kemudian mendatangkan pula masalah kewangan kepada negeri itu. Serta menziarahi orang mati dan memberi sedikit sumbangan.
Pulau Pinang, negeri DAP yang mahu melaksanakan konsep Negara Berkebajikan sendiri gagal melaksanakan kebajikan kepada rakyatnya. Semakin marak kemarahan orang ramai di negeri itu terhadap pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang, terutamanya membabitkan penjaja-penjaja kecil yang diketepikan.
Sebaliknya dasar pecah dan perintah sedang diamalkan di negeri itu. Kondo-kondo mewah banyak dibina untuk faedah beberapa golongan masyarakat tertentu, menggantikan kampung-kampung miskin yang diroboh untuk didirikan dengan pembangunan mewah. Rumah-rumah awam juga gagal didirikan.
Negara berkebajikan yang dilaksana di Barat sendiri pun kini dikritik hebat kerana telah mengakibatkan rakyatnya malas dan enggan bekerja, kerana mengharapkan bantuan kebajikan daripada kerajaan.
Di Britain ia sudah dibahas hebat ekoran masalah kemalasan bekerja kerana mengharapkan elaun-elaun pengangguran dan pelbagai faedah yang disediakan kerajaan.
Golongan pekerja dan peniaga pula sebaliknya berang kerana cukai yang tinggi dikenakan ke atas mereka untuk membiayai kebajikan rakyat yang tidak bekerja itu. Malah harga minyak di sana pun tidak disubsidi oleh kerajaan, seperti yang dinikmati oleh rakyat Malaysia kini. Harga semasa petrol di UK ialah RM6.70 seliter.
Kesimpulannya, apa yang cuba diperkenalkan oleh DAP, sehingga Pas sanggup mengorbankan perjuangan Islamnya, hanyalah semata-mata satu pendekatan gimik popular.
Namun secara halus ia sebenarnya adalah konsep perjuangan lama DAP, iaitu Malaysian Malaysia.
Malangnya, PKR terpaksa mengikut bagi menyelamatkan tengkuk Anwar Ibrahim dan PAN rela dicucuk hidung kerana mengidam ke Putrajaya walaupun mengakui jalan-jalannya amat sukar bila bertuankan DAP.
  • PRU14.tv
 
Copyright © 2014 PenangKini.