BREAKING NEWS

Tuesday, 24 January 2017

Nilai sendiri BN laksanakan seperti dijanji, pembangkang tidak



23 JAN: Barisan Nasional (BN), yang sekian lama merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, merupakan pilihan terbaik untuk dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata rakyat perlu menimbangkan tentang tiga perkara dalam membuat pilihan mereka pada PRU14 nanti.

Perkara pertama adalah BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengamalkan konsep muafakat dan bekerjasama sebagai satu pasukan sedangkan pembangkang masing-masing dengan pandangan dan pendirian sendiri, katanya di Putrajaya, hari ini.

Perkara kedua pula BN merancang membangunkan Malaysia dan perancangan mengenainya diumumkan kepada masyarakat berbanding pihak pembangkang yang tiada perancangan dan hanya berpolitik semata-mata.

Perkara ketiga, katanya, BN melaksanakan apa yang telah dirancangkan sebaliknya pihak pembangkang, khususnya di negeri-negeri yang diperintah, hanya merancang tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya.

“BN adalah satu gabungan yang mempunyai perancangan dan melaksanakan perancangan tersebut. Ertinya, masa depan Malaysia lebih terjamin di bawah pimpinan BN.

“Kita tidak boleh menyerahkan Malaysia kepada satu pasukan yang tidak ada muafakat antara mereka sendiri,” katanya.

Salleh berkata walaupun parti-parti komponen BN ada kalanya berbeza pandangan namun, ia adalah perkara biasa khususnya dalam sistem demokrasi.

BN juga mempunyai wadah tertentu untuk mengurus perbezaan tersebut sebaliknya pembangkang bercakaran sesama sendiri secara terbuka, katanya.

Menurutnya pihak pembangkang masih tidak sehaluan dalam isu-isu utama termasuk berhubung pengagihan kerusi dan penggunaan satu simbol menjelang PRU14.

“Permasalahan di antara pihak pembangkang itu berikutan perbezaan ideologi politik dan kepentingan politik.

“Saya yakin jika ini berterusan, kita akan lihat pakatan pembangkang berpecah kerana tidak sehaluan,” katanya.

Sebaliknya, Salleh berkata BN mengamalkan konsep muafakat dan sentiasa bekerja sebagai satu pasukan selain memainkan peranan masing-masing demi kesejahteraan rakyat.

“Kita bertanding bukan sekadar kemenangan parti-parti individu sahaja tetapi kemenangan BN secara keseluruhannya kerana kita ingin menjadi gabungan politik yang meneruskan agenda pembangunan dengan menjamin kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat selain menentukan peluang ekonomi dan pekerjaan dapat disediakan,” jelasnya.

Sebagai contoh, katanya, Transformasi Nasional 50 (TN50) yang dilancarkan Najib baru-baru ini menunjukkan kerajaan pimpinan BN mendapatkan input dan maklum balas daripada anak muda mengenai aspirasi mereka dan membina masa depan dalam masa 30 tahun lagi.

Mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad, Salleh berkata bekas perdana menteri itu sering membuat pusingan U dan pendirian politiknya juga sudah berubah.

“Beliau berbuat demikian kerana kepentingan politik semata-mata dan bukannya kerana kepetingan negara atau Malaysia. Beliau akan menggunakan apa juga kaedah agar BN dan Umno dikalahkan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.