BREAKING NEWS

Monday, 30 January 2017

PAS Pulau Pinang sangkal dakwaan EXCO Agama


KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang hari ini, mempertahankan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan umat Islam di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusof, berkata pihaknya turut membidas tindakan EXCO Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang menafikan perkara itu, sebaliknya menyifatkan kenyataan Abdul Hadi berasas dan disokong dengan hujah yang tersendiri.

Katanya, antara perkara yang membuktikan dakwaan Abdul Hadi berasas adalah isu berkaitan kampung warisan Melayu, tindakan dwistandard terhadap penjaja Melayu dan bukan Melayu, projek tambak laut untuk wujudkan pulau buatan, campur tangan terhadap institusi fatwa negeri, tidak bersetuju dengan cadangan Pindaan Akta 355 serta tindakan kerajaan negeri mempromosi pemikiran Islam liberal melalui Penang Institute.

 "Ini antara enam perkara yang menjadi asas kepada kenyataan Abdul Hadi mengenai kegagalan kerajaan negeri membela Melayu dan Islam di negeri ini. "Justeru, apa yang Abdul Malik dakwa bahawa Islam di Pulau Pinang terbela adalah tidak benar," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, usaha kerajaan negeri membela masyarakat Melayu dan Islam di Pulau Pinang didapati masih berada di dalam kerangka pembangunan konvensional yang hanya memfokuskan aspek material semata-mata.

Baru-baru ini, Abdul Malik membidas kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri itu dan mendakwa kenyataan itu tidak berasas.

Abdul Malik mendakwa, selepas pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran dari BN pada 2008, syiar Islam terus berkembang jauh lebih baik berbanding kerajaan terdahulu di Pulau Pinang.-BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.