BREAKING NEWS

Wednesday, 4 January 2017

Penuntut USM dekati gelandangan

PULAU PINANG 3 Jan. - Sekumpulan 44 pensyarah dan penuntut Kelab Pe­rancangan dan Pengurusan Pembangunan (PPP) dan Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini turun padang menyantuni golongan gelandangan di sekitar kawasan Masjid Kapitan dan Georgetown di sini.

Program bertemakan ‘Makanlah Sahabat dan Santuni Miskin Kota’ bertujuan memberi peluang kepada penuntut USM menghulurkan bantuan kepada golongan gelandangan sekali gus menunaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan tersebut.

Selain memberi makanan dan peralatan kebersihan diri, penuntut yang menyertai program itu turut mengumpul maklumat asas golo­ngan gelandangan yang akan digunakan dan dikumpulkan dalam dokumen berbentuk kajian kes.

Penasihat kelab, Dr. Suziana Mat Yasin, selain mendekati golongan gelandangan, program itu turut mendedahkan peserta mengenai kerja lapangan terutama asas menemuramah responden.

“Program ini julung kali diadakan juga memerlukan mahasiswa mengumpul maklumat dan mengaplikasi ilmu yang telah dipelajari di dalam kuliah,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Kelab Kerja Sosial PPSK, Dr. Param­jit Singh Jamir Singh berkata, sebagai sebuah Universiti APEX, USM sentiasa prihatin dan peka dengan isu-isu yang melanda masyarakat di negara ini termasuk masalah gelandangan.

“Golongan ini hanya ‘berkatilkan’ lantai dan ‘bertilamkan’ kotak kerana rata-rata mereka tidak mempunyai kediaman dan punca yang menyebabkan golongan ini hidup sebegini perlu dikenal pasti supaya bantuan yang relevan dapat diberikan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah PPSK, Dr. Parthiban S. Gopal pula berkata, masalah gelandangan berpunca daripada ketidakseimbangan dalam pembangunan yang disebabkan oleh perancangan dan pengurusan pembangunan yang lebih berfokus kepada pembangunan fizikal semata-mata.

“Sehubungan itu, program sebegini selain dapat mengurangkan beban gelandangan diharap turut membuka mata penuntut kepada realiti sebenar kehidupan masyarakat sekali gus berusaha membaiki sistem yang ada ketika ini atas kapasiti dan kemampuan mereka,” katanya.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.