BREAKING NEWS

Wednesday, 4 January 2017

Peraturan-Peraturan Kawalan Harga & Antipencatutan

Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah Bagi Barangan) 2016 dikuatkuasakan mulai 1 Jan (2017) bagi mengekang aktiviti pencatutan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan hari ini berkata peraturan berkenaan terpakai kepada semua barangan di semua peringkat perniagaan yang termasuk dalam skop pemakaian peraturan.
Menurut kenyataan itu penguatkuasaan dan pemakaian peraturan dimulakan dengan dua kategori barangan iaitu makanan dan minuman serta barangan isi rumah iaitu jenis barangan tidak tahan lama, termasuk produk penjagaan diri, yang memberi kesan langsung ke atas perbelanjaan isi rumah dan kos sara hidup rakyat.
“Namun kementerian akan memperluaskan penguatkuasaan peraturan ini kepada barangan dan perkhidmatan lain mengikut keperluan dan kewajaran,” kata kementerian itu.
Peraturan berkenaan menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014 yang penguatkuasaannya tamat pada 31 Dis lepas (2016).
KPDNKK berkata peraturan berkenaan bukan sahaja untuk menjaga kepentingan pengguna daripada dibebani peningkatan harga barangan yang tidak berpatutan malah untuk memastikan perniagaan domestik terus beroperasi dalam suasana yang kondusif dengan pengambilan keuntungan yang berpatutan.
Kementerian itu berkata tempoh peralihan selama tiga bulan bermula pada 1 Jan (2017) diberikan kepada peniaga sebagai persediaan pematuhan peraturan itu.
Menjelaskan peraturan itu, KPDNKK berkata ia menggunakan kaedah pengiraan peratusan ‘mark up’ atau peratusan margin sebagai prinsip asas untuk menentukan pencatutan bagi barangan oleh peniaga dalam perjalanan satu tahun perniagaan.
“Peraturan ini bukan berniat untuk menetapkan kadar keuntungan barangan yang diurusniaga atau dijual. Namun begitu, kementerian mempunyai asas melalui mekanisme dalam peraturan ini bagi memastikan keuntungan yang ditentukan atau diperoleh oleh peniaga bagi sesuatu barangan adalah munasabah,” menurut kenyataan itu.
KPDNKK berkata mekanisme yang diguna pakai mengambil kira ‘mark up’ atau margin sesuatu barangan oleh peniaga bagi tempoh tiga tahun sebelumnya serta trend kenaikan ‘mark up’ atau margin barangan tersebut.
Kenyataan itu turut menyebut, oleh yang demikian, penentuan keuntungan oleh peniaga yang diambil kira kementerian adalah berasaskan kepada data maklumat perniagaan yang lepas.
KPDNKK berkata ia mengambil masa yang mencukupi bagi mengadakan ‘engagement’ dengan semua pihak berkepentingan dalam mengadakan peraturan baharu berkenaan.
“Setelah mengkaji, meneliti dan mempertimbangkan pandangan dan cadangan daripada pihak peniaga dan pengguna, kementerian mendapati adalah wajar untuk meneruskan penguatkuasaan pencatutan demi kepentingan semua pihak,” katanya.
KPDNKK berkata kementerian akan melaksanakan program advokasi untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada pihak berkepentingan khususnya peniaga yang tertakluk kepada penguatkuasaan peraturan itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.