BREAKING NEWS

Friday, 13 January 2017

PGBF: PENGERUSI FELDA JELASKAN STATUS PROJEK YANG DIMANIPULASI RAFIZI


KUALA LUMPUR – Pengerusi FELDA hari ini menjelaskan berkaitan status Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang faktanya cuba diselewengkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 September 2012 semasa sesi pembentangan Bajet 2013.
FELDA menyasarkan untuk membina sebanyak 20,000 unit rumah bagi projek ini dalam tempoh lima tahun.
Menurut kenyataan akhbar Pengerusi FELDA kepada media, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata lanjutan daripada pengumuman tersebut, FELDA telah menubuhkan syarikat Perumahan FELDA Sdn Bhd (PFSB) bagi menguruskan pelaksanaan projek ini.
“Pelaksanaan Projek PGBF dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama sebanyak 8,470 unit dan Fasa Kedua 11,530 unit.”
“Bagi Fasa Pertama, Projek PGBF dipecahkan kepada projek perintis di tujuh lokasi dan melibatkan 2,144 unit. Baki sebanyak 6,326 unit di 26 lokasi telah dibahagikan kepada lima pakej,” jelas Shahrir.
Beliau memberitahu bahawa semua projek dalam Fasa Pertama ini telah dijalankan oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik melalui proses tender.
“Pembiayaan Fasa Pertama adalah dari sumber dalaman FELDA dan juga pinjaman.”
“Pembiayaan tambahan telah juga diperolehi melalui peruntukan sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan di bawah Bajet Kerajaan Persekutuan 2017,” jelas beliau.
Menurut Shahrir, bagi Fasa Kedua yang melibatkan 11,530 unit, Lembaga Pengarah syarikat PFSB telah memutuskan pembiayaannya adalah melalui inisiatif pendanaan swasta (PFI) dan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Putra Star Investment Holdings Pte Ltd dan syarikat Terranova Builders Sdn Bhd pada 6 September 2016.
“Fasa Kedua Projek PGBF tidak dapat dilaksanakan lagi (buat masa ini) memandangkan terdapat isu-isu teknikal dan pematuhan kepada perjanjian inisiatif pendanaan swasta tersebut.”
“Ketiga-tiga pihak yang terlibat dengan perjanjian tersebut kini di dalam proses perundingan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul,” tambah Shahrir.-feldavoice
 
Copyright © 2014 PenangKini.