BREAKING NEWS

Tuesday, 31 January 2017

PRU14: BN Kedah Tekad Rampas Lima Kerusi Parlimen


ALOR SETAR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) Kedah pada PRU-14 terutama di lima kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang penting untuk merancakkan lagi pembangunanan negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ia juga bagi memudahkan penyelarasan peruntukan dari kerajaan pusat kepada kerajaan negeri
seterusnya melancarkan projek-projek pembangunan di kawasan yang dimenangi.
Beliau berkata, menjadi suatu kerugian bagi rakyat Kedah apabila kerusi Parlimen dikuasai parti lain kerana proses penyaluran peruntukan daripada kerajaan pusat sukar dilakukan.
Katanya, sebanyak RM30 juta diperuntukkan kerajaan pusat untuk setiap kawasan parlimen, jika lima kerusi parlimen tewas ini bermakna sebanyak RM150 juta peruntukan sukar disalurkan untuk membangunkan sebarang projek di kawasan terbabit.
“Justeru, penggundi di parlimen yang kalah akan rugi sebab mereka tidak dapat kelebihan peruntukan itu disebabkan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2017 anjuran MCA Kedah, di sini, hari ini.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN Kedah meminta rakyat Kedah membuat pilihan yang bijak dengan tidak melakukan kesilapan mengundi pembangkang pada PRU-14 akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan sama ada akan berlaku perubahan kerusi antara parti-parti komponen BN di Kedah.
Pada PRU-13, BN Kedah kehilangan lima kerusi termasuk dua milik MCA iaitu Alor Setar dan Padang Serai, selain Sungai Petani, Pokok Sena dan Kuala Kedah. – Bernama

 
Copyright © 2014 PenangKini.