BREAKING NEWS

Tuesday, 24 January 2017

Punca Sebenar Mahathir Serang Sultan Johor

KUALA LUMPUR: Punca sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Sultan Johor adalah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, menurut penganalisis politik.
Mengkritik pelaburan China di Johor, terutamanya projek Forest City, Dr Mahathir berharap dapat menaikkan kemarahan Melayu luar bandar untuk mengundi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan merampas Johor, sekurang-kurangnya, daripada Umno.

Dua sebab lain adalah keinginan Dr Mahathir menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan dan persengketaan dengan keluarga diraja.
Ini adalah pandangan Dr Mustafa Izzuddin, felo Institut Yusof Ishak di bawah Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas), dan pensyarah University Scholars Programme of the National University of Singapore.

Menulis dalam South China Morning Post, Mustafa berkata Dr Mahathir dan mereka yang ingin mengusir Umno melihat projek Forest City sebagai satu rahmat politik.
Forest City adalah projek pembangunan hartanah bercampur bernilai RM443 bilion yang dijangka siap dalam tempoh 30 tahun.

Syarikat Country Garden dari China bekerjasama Esplanade Danga 88, sebuah syarikat bersekutu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, yang merupakan sayap pelaburan negeri selatan.
Pemegang saham terbesar Esplanade Danga 88 adalah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.
Projek ini dijangka menempatkan kira-kira 700,000 orang di 4 pulau buatan.
Mustafa melihat 3 sebab bagi kesediaan Dr Mahathir menyerang Sultan Ibrahim.


Yang pertama, beliau berkata “kebencian” Dr Mahathir terhadap Najib dan usahanya menarik pelaburan dari China, yang didakwa bekas perdana menteri itu sebagai “menjual Malaysia kepada China”.

Ke-2, pembangunan Forest City sedang berlaku di Johor, yang dipilih PPBM sebagai pangkalannya.
Ia berharap memenangi Johor pada pilihan raya umum akan datang dan menjatuhkan Umno dari tempat kelahirannya.

“Permainan PPBM terdiri daripada 2 peringkat. Tahap pertama adalah mengusir Umno dari mengawal Dewan Undangan Negeri Johor dengan masuk ke dalam pakatan longgar dengan pembangkang untuk menggugat Umno.

“Tahap ke-2 adalah mengusir Najib daripada kerajaan sama ada dengan memenangi pilihan raya, atau mengecilkan margin dimenangi Najib dalam sebarang cara agar kedudukan politiknya tidak dapat dipertahankan sama ada di dalam parti atau kerajaan.”

Mustafa menambah: “Dr Mahathir berharap dengan memainkan kebimbangan Najib menjual kedaulatan Malaysia (atau hanya tanah Melayu kepada China), dan merancang menjadi negara satelit Beijing, beliau boleh mendapat sokongan sebahagian besar konservatif luar bandar yang menjadi asas sokongan Melayu di Johor dan seterusnya.”

Beliau menyatakan Dr Mahathir juga menyebabkan kegelisahan yang Malaysia akan hancur dengan kemasukan pekerja China dan penduduk yang menyebabkan “ketidakseimbangan kuota etnik seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.”
Mustafa berkata sebahagian besar konservatif Melayu kekal bimbang terhadap orang Cina dan sifat kecinaan yang berlandaskan China.

Oleh itu, beliau melihat isu “Malaysia menjual jiwa ekonominya kepada China” berpotensi menjadi isu panas semasa pilihan raya.
Mustafa berpendapat ahli politik pembangkang bukan Melayu juga cenderung menjadikan ia satu isu pilihan raya, tetapi dengan berhujah kebimbangan sebenar ke atas pembiayaan daripada Beijing ialah sama ada ia memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, atau sama ada hanya kepada golongan elit.

Sebab ke-3, Dr Mahathir lantang bersuara menentang Sultan Johor, kata Mustafa, adalah sejarah permusuhan antara beliau dan kerabat diraja.
“Dr Mahathir yang melancarkan kempen terbuka untuk membendung kuasa keterlaluan keluarga diraja dan menghapuskan imuniti sultan ‘daripada pendakwaan jenayah selepas 2 kes serangan melibatkan keluarga diraja Johor pada 1990-an.”

Baru-baru ini, Mustafa menyedari teguran Sultan Ibrahim terhadap Dr Mahathir kerana kritikannya terhadap konsep Bangsa Johor, yang asas pembangunannya kepada memupuk perpaduan dengan menghormati bangsa, agama dan budaya.

“Mengenai persengketaan terbaru mereka, tumpuan Dr Mahathir berdasarkan campuran sentimen anti-Najib dan kebencian lama terhadap keluarga diraja. Bagi pemerintah Johor, ia lebih mengenai melindungi negerinya daripada politik sempit dan perkauman Dr Mahathir, untuk melindungi dan menggalakkan cara hidup ‘Bangsa Johor’.”

Mustafa berkata punca sebenar persengketaan adalah politik perkauman yang sudah lama berakar umbi di Malaysia.

“Dengan pilihan raya bakal tiba, semua pihak nampaknya meningkatkan kempen bersifat perkauman dan agama untuk memancing undi. Seterusnya mencadangkan peningkatan besar dalam aktivisme monarki sebagai barisan hadapan terhadap polarisasi bangsa ataupun agama di kalangan rakyat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.