BREAKING NEWS

Friday, 20 January 2017

RESTORAN NASI KANDAR PELITA BERSTATUS HALAL DAN MILIK BUMIPUTERA

Kredit Kepada Saudara Mazidul atas artikel ini. Jom ke Pelita Tanpa Was-Was!!!

Izinkan saya mendedahkan fakta sebenar berhubung fitnah disebarkan di laman sosial mengenai Restoran Nasi Kandar Pelita.

Dalam misi mencari jawaban asal usul roti canai pada April 2013, saya bersemuka dengan dua pengarah syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat pemilik 28 cawangan restoran Nasi Kandar Pelita, Datuk Hj Shamsuri Ahmad dan Datuk K. K Sihabutheen Kirudu Mohamed.




Datuk Shamsuri juga memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. Tugasan rutin beliau, penceramah agama bebas dan amat dikenali oleh jemaah masjid di sekitar Pulau Pinang.


Selain berkunjung ke Pulau Pinang, dalam misi sama, saya ke Chennei, India, melaksanakan tugasan Majalah 3, klik di sini. Tatkala berada di negeri Tamil Nadu itu,  saya berpeluang pula bertemu dua lagi pengarah Nasi Kandar Pelita, Datuk D. Ramesh dan Uswath Khan Kirudu Mohamed.




Uswath, 44  tahun dan abangnya, Datuk Sihabutheen berketurunan India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak di Malaysia.

"Uswath, beberapa cerita negatif disebarkan di facebook dan blog.  Satu daripada cerita itu mendakwa kononnya Restoran Nasi Kandar Pelita dimiliki oleh orang India. Boleh jelaskan mengenai hal ini?"

Itu soalan saya kemukakan kepada Uswath pada 18 April lalu sewaktu dia ditemui di Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Chennei. Bagaimanapun jawaban kepada soalan itu tidak dikongsikan di Majalah 3 kerana saya mengajukan pertanyaan itu  untuk pengetahuan peribadi sahaja bukan untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.



"Saham Pelita Samudra Pertama dipegang oleh TUJUH  individu dengan tugasan tersendiri. Lima daripada tujuh rakan kongsi syarikat, beragama Islam manakala 2 lagi bukan Islam, termasuk Datuk Ramesh," terangnya.

Sejak bertemu, saya menganggap mereka berempat sebagai rakan, waima apapun sekali keturunan dan agama mereka anuti. Justeru rasa bersalah menghantui diri andai saya gagal memberikan pencerahan terhadap fitnah selama ini dilontarkan terhadap Restoran Nasi Kandar Pelita.



Dalam laporan  bergambar akhbar The Star pada 24 September lalu, dipaparkan nama dan gambar Datuk Ramesh bersama Presiden MIC, Datuk G. Palanivel. Gambar terbabit direkodkan sewaktu upacara pecah tanah pembinaan dewan serba guna bernilai RM4 juta berlangsung berhampiran Kuil Karumariamman di Seberang Jaya. 

Klik di sini.

Di bawah, gambar sebenar terkini lokasi upacara terbabit disempurnakan, dirakam oleh jurukamera, Amelia Shafer petang semalam.




Saya berpeluang menemu bual  Datuk Ramesh sewaktu kunjungan ke pejabat  Pelita Samudra Pertama di Taman Chai Leng, Prai.  



[ Datuk D. Ramesh bersama Mazidul ]


"Dalam gambar disiarkan oleh  akhbar  itu (The Star), saya berdiri posisi  tiga dari kiri, di kanan Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh. 


"Jadi ini gambar siapa? Nama Datuk tercatat di situ?," soal saya.

Sambil  memaparkan kepada anak jati Pulau Pinang itu salinan  gambar keratan akhbar hitam putih di atas.


"Di sebelah kiri, Datuk R.A Arunasalam manakala di kanan, Ahli Dewan Undangan Negeri, L. Krishnan, saya tidak ada dalam gambar itu. Saya dijemput oleh presiden Kuil Karumariamman dan hadir di lokasi pada 23 September di atas tiket individu, bukan mewakili Restoran Nasi Kandar Pelita," jelas beliau tenang.

Tiba-tiba terlintas soalan di fikiran saya, adakah tindakan bercanggah dalam Islam JIKA rakan kongsi perniagaan beragama Hindu atau lain menyumbang untuk tujuan keagamaan? Lalu pantas saya menghubungi penceramah agama terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 28 tahun melalui telefon bimbit.



Tatkala itu beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk pulang ke Bangi, Selangor.

"Ustaz, dari aspek hukum Syarak, adakah dibenarkan individu bukan Islam menjadi rakan kongsi peniaga Islam?," soal saya.

"Saya hendak menjelaskan dari sudut ilmiah. Katalah, orang Melayu, Cina dan India membuka perniagaan, mereka berkongsi. Di manakah kita hendak kata pendapatan mereka raih itu salah? Pertama, orang keliru akan berkata sebab dia berkongsi dengan peniaga Cina. Kalau orang Cina itu membuka kedai runcit, mereka meraih pendapatan halal. Apakah masalah dia? Kecuali apabila peniaga rakan kongsi bukan Islam itu contohnya, menjual babi, arak. Andai peniaga India pula berkongsi dengan peniaga Islam membuka kedai kain, samalah. Tiada masalah perkongsian di situ. Tidak ada masalah selagi hasil perniagaan diusahakan diagihkan secara adil," jawab graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu. 

"Bagaimanakah pula JIKA rakan kongsi niaga bukan Islam itu menyumbangkan wangnya untuk membiayai acara keagamaan dia?," satu lagi soalan saya ajukan.

"Itu tidak ada masalah, ikut suka hati dia. Kalau dia hendak menyumbang untuk tujuan pembinaan kuil sekalipun, itu hak peribadi dia, tindakan itu bukan mewakili syarikat dia menjadi rakan kongsi bersama peniaga beragama Islam," terang beliau secara teratur.

Kira-kira sejam setelah bercakap dengan Ustaz Don, saya duduk semeja bersama imam Masjid Seberang Jaya, Mohamad Ikramuddin Zaqwan Al-Hafiz, 33 tahun, di Restoran Pelita Nasi Kandar.



Ustaz lulusan Madrasah Miftahul Ulum, Taman Sri Petaling, Kuala Lumpur itu anak kelahiran Air Hitam, Kedah dan dilantik menjadi imam sejak kira-kira 4 tahun lalu.



"Apakah pandangan ustaz mengenai penggunaan ayat Al-Quran digantung di dinding restoran ini?," soal saya kepada ayah 2 anak itu.

"Mula-mula kita tengok pada asas terlebih dahulu. Apabila asas itu bersih dan  tiada keraguan halal atau haram  (subhah) maka tiada masalah. Tambahan pula, rakan kongsi restoran ini, majoriti beragama Islam," jelas anak sulung daripada 8 beradik.



Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat milik penuh bumiputera disahkan oleh Kementerian Kewangan.



"Kita harus membuat penyelidikan dan rujukan secara teliti sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu isu.  Khuatir, jika tidak benar, kenyataan kita keluarkan menjadi fitnah," kata anak sulung daripada 8 beradik itu. 



Menjelang jam 12 tengahari, sewaktu Ustaz Ikramuddin dan Pengerusi Masjid Seberang Jaya menjamu selera, Restoran Nasi Kandar Pelita mula dibanjiri oleh ratusan pelanggan pelbagai bangsa. 





Mereka sabar beratur untuk memilih pelbagai hidangan menyelerakan.




Seorang daripada pelanggan restoran saya temui, Nor Hasrul Nizam, 32 tahun, datang bersama kenalannya.



"Sebelum makan di restoran mamak, saya akan memastikan makanan disajikan halal dan restoran itu bersih. Kesihatan juga harus dijaga," ujar peniaga terbabit.



Saya kemudian secara spontan menjemput Hasrul untuk bersama meninjau dapur Restoran Nasi Kandar Pelita. Uswath mengiringi kami berdua.



Hasrul bertemu tukang masak beragama Islam, Ensarul Shaikh, 34 tahun, mula bertugas memasak pelbagai juadah sejak 10 tahun lalu.  Sebelum berkhidmat di Restoran Nasi Kandar Pelita, dia memasak juadah halal di hotel lima bintang di India.



"Kita ada 658 bahan masakan diluluskan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," celah Uswath sambil menunjukkan bungkusan kari halal. 



Hasrul  ternyata berpuas hati dari aspek kebersihan di restoran sama.

"Nasi Kandar Pelita amat komited memantau dan  melaksanakan  4  aspek utama, rasa makanan,  kebersihan,   servis dan   status halal makanan.   Kami memastikan  rasa makanan sentiasa konsisten, kebersihan dijaga rapi, mutu layanan terhadap pelanggan sentiasa dipantau dan sumber makanan, cara simpanan serta kaedah penyediaan, halal. Semua  cawangan  Pelita  telah mendapat sijil halal dikeluarkan oleh JAKIM pada Mei 2012," jelas Datuk Shamsuri.



Dua kali setahun syarikat konsultan, AnsarCom (M) Sdn. Bhd konsultan dilantik oleh Pelita Samudra Pertama melakukan pra-audit memastikan semua cawangan Restoran Pelita Nasi Kandar mengikut ketetapan JAKIM mengenai Pensijilan Halal.  



"AnsarCom mula beroperasi sejak tahun 2004. Tugas kami memastikan semua syarat halal JAKIM dipatuhi oleh rangkaian restoran terbabit. Kami antaranya melakukan pemeriksaan status halal stok bahan masakan dan memeriksa kebersihan dapur restoran. Kami mendapati syarikat pengurusan Restoran Nasi Kandar Pelita amat komited mematuhi prosedur Pensijilan Halal JAKIM," ujar Pengarah Eksekutif AnsarCom, Ramlah Hamad.  

Sila klik di sini untuk membaca pandangan dan fakta dikemukakan oleh  AnsarCom mengenai Restoran Nasi Kandar Pelta.

AnsarCom ((M) Sdn. Bhd  (664160-W)

No 36-G, 36-1, 36-2
Jalan Putra Mahkota 7/7A
Putra Heights Subang Jaya
47650 Subang Jaya, Selangor
Tel : 03 51922185/2186/2187
Faks : 03 5192 2189

Orang ramai juga  dipersilakan untuk menghubungi JAKIM seandainya ingin membuat rujukan, 03-8886 4000.

"Ketika Restoran Nasi Kandar Pelita dibuka 19 tahun lalu, saya hanya  berusia 24 tahun. Rakan kongsi niaga saya, dua individu beragama Islam. Pertama, arwah ayah Uswath, Kirudu Mohamed Kuppaikanni atau lebih dikenali dengan nama Haji K.K, 56 tahun dan Khaliq Jamal, 42 tahun pada waktu itu. Saya menjadi juruwang, Haji K.K dan Khaliq memasak. Haji K.K mencadangkan logo lampu pelita untuk restoran kami. Pelita menyamai lampu di pasang oleh masyarakat Melayu pada malam tujuh likur di bulan Ramadan, bukan lampu seperti digunakan di kuil Hindu," terang Datuk Ramesh.



Berikut antara contoh  gambar lampu digunakan oleh penganut agama Hindu di kuil mereka, berbeza berbanding pelita menjadi  logo restoran dikunjungi ramai itu.



Di bawah lampu minyak tanah, logo  Restoran Nasi Kandar Pelita.


"Terdengar desas-desus mendakwa kononnya Nasi Kandar Pelita menggunakan 'mandaram' atau jampi serapah untuk menarik lebih ramai pelanggan datang. Komen Datuk?," soal saya.

"Tidak ada. Lazimnya orang India kalau pergi ke kuil tidak menggunakan elemen sebegitu untuk menarik pelanggan. Rakan kongsi saya beragama Islam dan saya sentiasa menjaga nama baik mereka semua kerana ini busines bersama. Berikutan status makanan halal dan perkhidmatan tulus kami tawarkan, perniagaan kami terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Terima kasih. Cuma kekadang saya berasa amat hairan apabila segelintir mendakwa gambar upacara pecah tanah dewan serba guna berhampirn  kuil September lalu itu kononnya didakwa berkait dengan kegiatan mandram dilakukan di hadapan restoran. Walhal kedua premis berada di lokasi berbeza. Lagi satu Mazidul, mustahil dan pelik sekiranya mandram dilakukan bersama Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh sambil tersenyum.



Hemat saya, segelintir pesaing dalam perniagaan lazimnya sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan peniaga lebih berjaya. Saya maklumkan kenyataan itu kepada Datuk Ramesh dan beberapa pengarah saya temui semalam. Lebih berjaya sesuatu perniagaan dijalankan, lumrahnya, lebih besar cabaran didepani oleh pihak pengurusan syarikat.


Menurut graduan seni bina, Datuk Sihabutheen, Restoran Nasi Kandar Pelita secara konsisten menghargai sambutan ikhlas setiap pelanggan selama restoran terbabit beroperasi. 


"Saya dan semua pengarah Pelita Samudra Pertama merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada setiap pelanggan setia kami, selama ini memberikan sokongan padu kepada Restoran Nasi Kandar Pelita. Saya juga berharap, berikutan penjelasan dan maklumat lebih tepat dikongsikan di sini, pelanggan di seluruh negara terus berkunjung ke restoran kami tanpa perasaan ragu ragu berhubung status halal  juadah kami tawarkan untuk semua. Kami juga berjanji  akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik demi memuaskan hati pelanggan kami sanjungi," ujar beliau.

Allah maha berkuasa dan mengetahui. Lazimnya fitnah cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akhirnya didedahkan kepalsuannya.

Alhamdulillah.



Selamat menjamu selera tanpa was was di Restoran Nasi Kandar Pelita kepada semua pembaca budiman blog ini.

Klik di sini untuk ke facebook Nasi Kandar Pelita.


 
Copyright © 2014 PenangKini.