BREAKING NEWS

Saturday, 28 January 2017

Ringgit Malaysia Diunjur Lebih Kukuh.


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan peningkatan dalam tempoh empat minggu berturut-turut, aliran meningkat paling lama sejak April, berikutan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana turut menyaksikan kenaikan harga minyak mentah global. 

Penganalisis berkata, mata wang tempatan itu diunjurkan menjadi lebih stabil sekitar 4.40 hingga 4.50 bagi tempoh suku pertama tahun ini. Berdasarkan perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM), bermula pada 3 Januari lalu hingga jam 5 petang tadi, ringgit berada pada paras RM4.4295 hingga RM4.4995 bagi satu dolar. 

Malah semalam, ringgit naik 1.4 peratus kepada RM4.4335 berbanding RM4.4975 bagi satu dolar pada 4 Januari, paras yang belum pernah dicapai sejak 1998. Kenanga Research berkata, mata wang tempatan itu, diunjurkan kembali stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) membendung dagangan ringgit di pasaran luar pesisir. "Gambaran lebih jelas mengenai dasar yang dijalankan Presiden Donald Trump dan prospek harga minyak mentah dunia dilihat lebih stabil untuk sepanjang tahun ini juga akan menyokong ringgit. 

"Bagaimanapun, kestabilan itu masih dianggap relatif kerana unit tempatan itu masih terdedah dengan beberapa jangkaan lain seperti kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed), ketidaktentuan mengenai polisi seterusnya oleh Trump dan kebimbangan Brexit daripada Kesatuan Eropah," katanya. Turut mempengaruhi ringgit dengan pemulihan semula ekonomi China dan pilihan raya umum di beberapa ekonomi utama yang dikhuatiri terpengaruh dengan agenda populisme. Menurut Kenanga Research, dalam keadaan ketidaktentuan itu, ringgit diunjurkan berlegar pada paras sekitar RM4.40 hingga RM4.50 dalam tiga bulan semasa, berbanding unjuran sebelumnya pada paras RM4.40 hingga RM4.60. 

"Dalam usaha mengurangkan ketidaktentuan ekonomi kepada persekitaran ekonomi yang lebih stabil, kami menjangkakan ringgit akan mengukuh sekitar 4.35 menjelang akhir tahun ini. "Ia juga mengambil kira kemungkinan dolar yang lemah menjelang akhir tahun berikutan pergelutan ekonomi AS dengan kemungkinan berdepan situasi defisit berkembar," katanya. Ringgit memulakan dagangan hari pertama tahun 2017 dalam dagangan paling lemah sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. Ringgit juga merekodkan penurunan sehingga 4.4 peratus bagi satu dolar sejak keputusan pilihan raya AS pada 9 November, berbanding lebih enam peratus pada awal tahun ini. Selain itu, faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan terus mempengaruhi pergerakan ringgit pada tahun ini. 

Bagaimanapun menurut nota penyelidikan itu lagi, pihaknya yakin ekonomi domestik Malaysia yang berdaya tahan turut membantu mengurangkan kesan penurunan kepada mata wang tempatan itu serta aliran keluar modal. "Kita juga mempunyai sokongan asas kukuh yang kukuh. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahun ini dijangka meningkat kepada 4.5 peratus berbanding unjuran awal 4.3 peratus pada 2016. 

"Manakala imbangan akaun pembayaran semasa pula dijangka kekal positif pada 1.2 peratus daripada KDNK," katanya. Kenanga Research berkata, jika ringgit pulih melebihi RM4.42, dijangkakan tahap rintangan teknikal seterusnya kemungkinan sekitar RM4.20 hingga RM4.00. Jika sebaliknya ringgit terus jatuh lebih RM4.50, nota penyelidikan itu mengunjurkan ringgit berbanding dolar berada pada paras RM4.75 hingga RM4.78 atau hingga RM5.00 berbanding dolar AS.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/240758?m=1
 
Copyright © 2014 PenangKini.