BREAKING NEWS

Sunday, 1 January 2017

Semua Pihak Harus Ketepikan Fahaman Politik Demi Pembangunan Insan


PERMATANG PAUH, 1 Jan – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, semua pihak khususnya UMNO harus mengenepikan perbezaan politik demi pembangunan insan.
Jelasnya, untuk kekal relevan UMNO tidak perlu berpolitik setiap masa kerana apa yang dilihat oleh rakyat adalah bagaimana UMNO berkhidmat kepada rakyat.
Apatah lagi, katanya untuk memenangi kawasan yang diterajui pembangkang, sudah pasti usaha keras diperlukan bagi membuktikan bahawa UMNO sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
“Fahaman politik harus ditolak ke tepi demi pembangunan insan dan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat.
“Sebab itu saya amat berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh kariah masjid dalam program saya kali ini,” ujarnya selepas menyertai program berkuda menjelajah sembilan buah masjid dalam kariah Permatang Pauh.
Dalam program tersebut, beliau telah menyampaikan sumbangan kepada 10 orang fakir miskin di setiap masjid yang dipilih oleh kariah masjid itu sendiri.
Tambah Zaidi, apa yang lebih menarik adalah sambutan yang diberikan ketika sampai di Masjid Batu iaitu kawasan yang memang dikenali sebagai kubu kuat Pas.
“Mereka menerima kehadiran kami dengan baik. Ini menunjukkan hubungan antara pemimpin setempat dengan jawatankuasa masjid berjalan dengan baik sekali walaupun berbeza fahaman politik.
“Begitu juga di masjid Samagagah di mana kawasan peti undi ini UMNO kalah dengan lebih dua ribu majoriti tapi sambutan yang diterima amat baik.
“Saya berharap agar program ini dapat mengukuhkan silaturrahim antara pemimpin setempat dengan jawatankuasa masjid selain menghidupkan sunnah nabi,” katanya lagi. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.