BREAKING NEWS

Monday, 30 January 2017

Siapa yang terjejas akibat perintah imigresen Trump?

Berikut ialah senarai warganegara dan kumpulan individu yang terjejas akibat arahan Donald Trump, menerusi perintah yang bertajuk “Melindungi Negara daripada Kemasukan Pengganas Asing ke AS”.
trump-us

WASHINGTON: Ramai yang terkejut dengan perintah Presiden Donald Trump menguatkuasakan larangan sementara kemasukan pelarian dan warganegara 7 negara Islam, terutama bagi mereka yang sudah pun berada dalam pesawat untuk ke Amerika Syarikat, pada Jumaat lalu.
Pegawai pentadbiran melaporkan 109 ditahan ketika tiba di AS pada Sabtu, dengan ramai lagi individu masih ditahan setakat pagi semalam.

Berikut ialah senarai warganegara dan kumpulan individu yang terjejas akibat arahan Trump, menerusi perintah yang bertajuk “Melindungi Negara daripada Kemasukan Pengganas Asing ke AS”.

Pelarian

Perintah itu melarang kemasukan semua pelarian, tanpa mengira kerakyatan, selama 120 hari. Selepas tempoh itu, AS akan menerima kemasukan maksimum 50,000 pelarian pada 2017, lebih separuh daripada had 110,000 orang yang ditetapkan bekas presiden Barack Obama.
Program pelarian AS sebelum ini dibekukan selama 3 bulan susulan serangan 11 September 2001.

Rakyat Syria

Semua warga Syria, sama ada pelarian atau tidak, dilarang memasuki AS sehingga notis lain dikeluarkan.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perang Syria menyebabkan 4.8 juta rakyatnya lari meninggalkan negara itu sejak 2011.
Badan pemantau hak asasi manusia Syria berkata pada Disember ia merekodkan 312,001 kematian sejak konflik itu bermula dengan protes anti kerajaan pada Mac 2011.

Iran, Iraq, Yaman, Somalia, Sudan dan Libya

Tiada visa akan dikeluarkan bagi 90 hari kepada pendatang asing atau pelawat dari 7 negara majoriti Islam; Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Pemegang kad hijau

Perintah itu tidak menjejaskan mereka yang memegang kad hijau AS. Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly berkata kemasukan bagi penduduk tetap yang sah berada dalam “kepentingan negara”.
Bagaimanapun, Ketua Kakitangan White House Reince Priebus berkata warganegara dari 7 negara yang dinamakan dalam perintah itu perlu menjangkakan mereka tertakluk kepada peningkatan kawalan di sempadan.

Pemegang visa

Semua pemegang visa dari 7 negara berkenaan tertakluk kepada perintah baharu, dengan pengecualian diberi kepada mereka yang memegang visa diplomatik atau visa kepada institusi antarabangsa seperti Nato atau PBB.
Hakim di sekurang-kurangnya 4 negeri menghalang sebahagian sekatan itu, memerintahkan pihak berkuasa berhenti menghantar pulang pelarian dan ramai pengembara lain terkandas di lapangan terbang AS.

Pemilik 2 kerakyatan

Situasi bagi individu yang mempunyai 2 kerakyatan terus kompleks. Pegawai AS pada Sabtu berkata warganegara AS yang juga mempunyai pasport daripada mana-mana 7 negara yang disekat masuk tidak terjejas akibat perintah itu.
Pengecualian juga diberikan kepada pemegang 2 kerakyatan yang mempunyai 2 pasport iaitu Britain dan Kanada.
Britain berkata rakyatnya tidak akan tertakluk kepada pemeriksaan tambahan kecuali jika perjalanan mereka terus ke AS dari salah satu negara yang diharamkan.
Tetapi pemegang 2 kerakyatan yang mempunyai pasport salah satu daripada 7 negara terbabit dan tambahan negara asing lain tidak akan dibenarkan masuk.
 
Copyright © 2014 PenangKini.