BREAKING NEWS

Wednesday, 4 January 2017

SPRM tahan KSU kementerian disyaki terlibat rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian di kediamannya di USJ, Subang Jaya, di sini hari ini kerana disyaki terlibat rasuah.
Menurut sumber SPRM, suspek bergelar ‘Datuk’ dan berumur 59 tahun itu ditahan kira-kira 8.00 pagi tadi dan dibawa ke Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Suspek ditahan kerana menggunakan kedudukannya untuk menyalahgunakan kuasa dan mengambil rasuah,” kata sumber itu kepada Bernama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata SPRM sedang membuat siasatan lanjut di kediaman suspek.
Azam enggan mengulas ketika ditanya identiti KSU berkenaan.



KENYATAAN MEDIA SPRM: DUA INDIVIDU TERMASUK KSU KEMENTERIAN DITAHAN TERLIBAT  RASUAH

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah Kementerian bergelar Dato’ kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

KSU tersebut yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.

Turut ditahan ialah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Setakat ini, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang
dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

DATO’ AZAM BAKI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (OPERASI)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
4 JANUARI 2017                      
 
Copyright © 2014 PenangKini.