BREAKING NEWS

Sunday, 1 January 2017

Sukar tidur, tangan sering sakit lepas ditembak

GEORGE TOWN - Luka kesan tembakan di dada Mohamad Amirul Amin Mohd Amir, 28, sudah pulih tetapi jurukamera RTM itu mengadu tangan kirinya sering kesakitan. Beliau berkata kesakitan itu menyebabkan beliau sukar tidur dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit. “Dari luar luka-luka itu nampak macam sudah sembuh sepenuhnya, tetapi tiap-tiap petang urat-urat dalam tangan akan tarik dan tangan kiri saya rasa sangat sakit sehingga saya tidak boleh tidur malam,” katanya.

 Beliau ditembak pada pukul 7 malam 1 Disember lepas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu apabila seorang lelaki menembak mati seorang peniaga bergelar Datuk dan dua orang awam serta mencederakan beberapa yang lain. Mohamad Amirul Amin dibenarkan keluar wad Hospital Pulau Pinang pada 12 Disember dan kini berehat di rumah sewanya di Lebuh Chulia di sini dengan jagaan ibunya Bunisa Mohd Ali, 58 dan bapanya Mohd Amir Abdul Salam, 62.

 Mohamad Amirul Amin berkata, beliau terpaksa menjalani fisioterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap minggu dan diberitahu kemungkinan beliau perlu menjalani pembedahan saraf jika kesakitan itu berterusan.
“Saya kena buat fisio setiap minggu untuk bersenam saraf-saraf tangan saya dan Februari ini saya akan membuat ujian untuk scan urat-urat tangan sekiranya masih tidak pulih. Doktor mencadangkan pembedahan untuk menukar menggantikan urat tangan,” katanya.

 Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain semalam menziarahi beliau dan menyampaikan sumbangan dari Dana Kebajikan Wartawan (JWF) sebanyak RM1,500. Katanya, JWF ditubuhkan menerusi sumbangan ikhlas badan korporat lima tahun lepas menyediakan bantuan kewangan kepada wartawan yang sakit akibat kemalangan, menghidap penyakit, atau kepada waris anggota yang meninggal dunia.

 Dalam kejadian tembakan itu, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang, 32, maut manakala lima yang lain termasuk Mohamad Amirul Amin cedera akibat terkena peluru sesat daripada tembakan yang dilepaskan pengawal peribadi Ong. Mohamad Amirul Amin cedera di bahu kiri apabila ditembak lelaki itu ketika cuba membantu mangsa kerana menyangka ia membabitkan kemalangan jalan raya. Beliau dan seorang rakannya yang juga wartawan akhbar Sinar Harian ketika itu dalam perjalanan ke majlis perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.