BREAKING NEWS

Saturday, 21 January 2017

UTC bakal dibuka di Pulau Pinang



KEPALA BATAS - Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan pelbagai khidmat utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar bakal dibuka di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Kementerian Kewangan sudah meluluskan penubuhan UTC di negeri ini namun tempat untuk membuka pusat itu belum diputuskan.

"Tempat (lokasi) untuk membuka UTC ini akan diputuskan oleh Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang yang dipengerusikan Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

"Umumnya tempat sudah ada dan ia akan diumumkan oleh Datuk Zainal dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mobile Community Transformation Centre (CTC) peringkat negeri Pulau Pinang, di Bertam dekat sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan UTC yang pertama di negeri ini dapat memberi manfaat kepada rakyat di utara khususnya melakukan pelbagai urusan dalam tempoh yang singkat kerana UTC beroperasi selama tujuh hari sehingga 10 malam.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 17 UTC telah dibuka di seluruh negara dan ia telah dikunjungi oleh 41 juta pengunjung sekaligus menunjukkan penerimaan terbaik oleh rakyat.

UTC merupakan satu usaha dan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyediakan pelbagai khidmat utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di pusat sehenti atau di dalam satu bangunan. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.