BREAKING NEWS

Monday, 6 February 2017

11 kes baru Rotavirus


6/2/2017: ISNIN

Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah merekodkan 11 kes baru jangkitan Rotavirus setakat 5 petang semalam dengan sejarah mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lengong Baling.

Pengarahnya, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan 18 kes dari mula kejadian dikesan.

Beliau berkata, 11 kes baru itu meliputi empat kes iaitu dua lelaki dan dua perempuan dimasukkan ke wad Hospital Kulim (HK).

"Di Hospital Sik (HS) pula dua kes direkodkan iaitu seorang lelaki dan perempuan dirawat di wad, diikuti satu kes (perempuan) di Hospital Yan (HY).

"Hospital Pakar Amanjaya (HPA) merekodkan satu kes (lelaki) dimasukkan ke wad, manakala tiga kes di Hospital Jitra (HJ) membabitkan dua lelaki dan seorang perempuan pula dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan, 11.30 malam tadi.

Dr Norhizan berkata, 11 kes baru itu membabitkan mangsa berusia antara 12 bulan hingga 19 tahun dan tarikh mengunjungi Pusat Rekreasi berkenaan daripada 28 Januari hingga 30 Januari lalu.

"Setakat semalam,tiga pesakit dari Hospital Kulim sudah dibenarkan pulang manakala 12 pesakit masih dirawat di dalam wad iaitu tujuh di HK, dua di HS dan masing- masing satu di HJ, HY dan HPA.

"Semua 12 pesakit yang dirawat di dalam wad dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata, pusat rekreasi berkenaan masih ditutup untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Jabatan Kesihatan Negeri katanya menasihatkan mereka yang mengunjungi Pusat rekreasi berkenaan daripada 25 Januari sehingga 3 Februari 2017 dengan gejala cirit birit untuk mendapat rawatan di klinik berdekatan dan memaklumkan sejarah mengunjungi pusat rekreasi Panas Ulu Legong Baling - Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.