BREAKING NEWS

Friday, 17 February 2017

56,569 unit rumah dibina kerajaan Pusat di P.Pinang sejak 2008


Perlaksanaan projek-projek Perumahan Mampu Milik oleh Kerajaan Persekutuan bagi Negeri Pulau Pinang dilaksanakan secara langsung oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga oleh 7 agensi lain, iaitu;
a. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri (JPM),
b. JKP Sdn Bhd,
c. Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA),
d. Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA),
e. Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M),
f. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), dan
g. UDA Holdings.
2. Kerajaan Persekutuan tidak pernah memungkiri janjinya kepada rakyat Pulau Pinang.
Bagi tempoh 2008 – 2016, sebanyak 34 projek telah siap dilaksanakan oleh EMPAT (4) agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan sejumlah 5,950 unit Perumahan Mampu Milik di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada jumlah keseluruhan 20,887 unit Rumah Mampu Milik yang telah siap dibina oleh pihak swasta dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Pulau Pinang bagi tempoh 2008 - 2016 sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.
3. Sebanyak 19 projek lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan oleh 6 buah agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan pada masa ini melibatkan pembinaan sejumlah 4,017 unit Rumah Mampu Milik. Manakala sejumlah 39 projek baru sedang dirancang untuk dilaksanakan dan akan melibatkan pembinaan sejumlah 46,602 unit di seluruh Negeri Pulau Pinang.
4. Secara keseluruhannya, jumlah unit Perumahan Mampu Milik yang telah siap dibina, sedang dalam perlaksanaan dan dalam perancangan untuk dibina bagi Negeri Pulau Pinang oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensi dan jabatannya bagi tempoh 2008-2018 adalah sebanyak 56,569 unit.
PR1MA
5. Pada penghujung tahun 2016, PR1MA telah diberi kelulusan Pelan Merancang oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi tujuan melaksanakan projek-projek perumahannya di Tasek Gelugor (2387 unit), Bukit Gelugor (905 unit) dan di Batu Ferringhi (1450 unit). Di bawah program PR1MA sejumlah 19,966 unit Rumah Mampu Milik telah dirancang untuk dibina di seluruh Pulau Pinang.
PPA1M
6. Bagi projek-projek Perumahan Penjawat Awam di bawah program PPA1M, sebanyak 5 projek sedang dalam proses pelaksanaan melibatkan pembinaan sejumlah 1,283 unit rumah di Kepala Batas, Bayan Lepas dan Bukit Mertajam. Manakala sejumlah 6 projek lagi yang akan melibatkan pembinaan sebanyak 12,172 unit Rumah Mampu Milik sedang dalam pelbagai peringkat perancangan termasuk menunggu kelulusan Arahan Pembangunan (Development Order) atau kelulusan Pelan Bangunan (Building Plans) serta dalam proses permohonan pelingkungan semula (Rezoning).
PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR)
7. Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara, KPKT. Pada masa ini sebanyak 2 projek dengan jumlah 301 unit rumah sedang dalam pelaksanaan, iaitu satu projek di Kampung Tok Suboh Daerah SPT melibatkan pembinaan 231 unit rumah dan dijangka siap untuk diduduki pada tahun ini. 1 projek lagi adalah di Mak Mandin melibatkan pembinaan 70 unit rumah dan dijangka siap pada 2018.
PERDA
8. Dalam tempoh 2008-2016, PERDA telah menyiapkan pembinaan sejumlah 3,213 unit Rumah Mampu Milik yang merangkumi rumah jenis Kos Rendah (RMM Kategori A) dan Kos Sederhana Rendah (RMM Kategori B). PERDA masih meneruskan pembinaan rumah-rumah jenis teres bertanah untuk jenis Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah. Sejumlah 284 unit pula sedang dalam pelaksanaan termasuk pembinaan 100 unit Rumah Kos Rendah bertingkat atau jenis apartment di Teluk Bahang.
JKP Sdn Bhd
9. Dalam tempoh 2008-2016, JKP Sdn Bhd pula telah melaksanakan sejumlah 8 projek perumahan dan menyiapkan 2,139 unit Rumah Mampu Milik untuk diduduki merangkumi rumah-rumah jenis Kos Rendah (RMM Kategori A) dan Kos Sederhana Rendah (RMM Kategori B) dan lain-lain kategori RMM. Sejumlah 1,862 unit pula sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan manakala sejumlah 5,476 unit pula sedang dalam pelbagai peringkat perancangan (Permohonan Pelan Merancang dan Penyediaan Pelan Bangunan).
10. Kerajaan Persekutuan menerusi jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya akan meneruskan usaha membina Rumah-rumah Mampu Milik di Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang telah dijanjikan kepada rakyat Pulau Pinang. Seperkara yang perlu diambil maklum, bahawa Kerajaan Persekutuan masih perlu memperoleh kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu sebelum boleh melaksanakan semua program Perumahan Mampu Milik untuk Rakyat Pulau Pinang yang telah, sedang dan akan dirancang. Walau bagaimana pun agensi dan jabatan Persekutuan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjayakan program perumahan untuk rakyat ini. Hal perumahan untuk rakyat bukan sesuatu perkara yang harus dijadikan bahan untuk berpolitik kerana ia akan hanya merugikan rakyat.
11. Sehubungan itu, saya bagi pihak agensi-agensi dan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan memohon Pihak Berkuasa Negeri untuk mengurangkan birokrasi tidak perlu dan mempermudahkan serta mempercepatkan proses-proses kelulusan yang berkaitan dengan pemajuan Rumah-rumah Mampu Milik untuk rakyat oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan. Semasa di bawah Kerajaan Negeri Barisan Nasional sebelum 2008, permohonan projek-projek perumahan untuk rakyat dan projek-projek rakyat atau untuk tujuan awam yang lain telah diberikan keistimewaan supaya dipercepatkan kelulusannya dan dikenakan syarat-syarat yang lebih mudah serta dilayan dengan tahap keutamaan yang tinggi.-16/2/2017

PENULIS MERUPAKAN PENGERUSI MAJLIS TINDAKAN PERSEKUTUAN NEGERI PULAU PINANG

 
Copyright © 2014 PenangKini.