BREAKING NEWS

Monday, 13 February 2017

Amaran, penjawat awam cemar reputasi kerajaan boleh dipecat


 Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang didapati menyebarkan berita yang menjejaskan reputasi perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) boleh memecat mana-mana penjawat awam, termasuk mereka yang sudah bersara, jika didapati menyebarkan berita yang menjejaskan kerajaan.

“Saya nasihatkan semua penjawat awam supaya tidak terbabit dalam menyebarkan apa-apa yang membuat komen yang boleh ditafsirkan di bawah Perintah Am sebagai mencemar imej perkhidmatan awam atau menyalahi Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya dalam ucapan ketika melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini.

Ali berkata mereka yang tidak berpuas hati sepatutnya meluahkannya menerusi saluran betul dan mereka yang mahu menentang kerajaan perlu mengambil jalan keluar lebih “terhormat” dan meletak jawatan.


“Ini fasal etika, dan etika itu yang diharap daripada penjawat awam. Jika anda rasa mahu buat perkara yang anti golongan berkuasa, maka jadi orang budiman dengan serahkan surat peletakan jawatan.
“Biarkan mereka yang menyokong kerajaan dan bersyukur dengan peluang diberi untuk mengambil alih tempat anda,” katanya.

Beliau juga menggalakkan penjawat awam belajar membezakan antara berita palsu dan benar.
“Saya pasti ramai antara kamu ada Facebook, Twitter atau Instagram dan anda perlu bijak dalam penggunaan media sosial serta perlu celik media sosial untuk mengelak daripada menyebarkan berita palsu,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.