BREAKING NEWS

Monday, 13 February 2017

Apakah kesan tanah sebuah negeri dijadikan Wilayah Persekutuan?


Walaupun pakar perundangan mengatakan Pulau Pinang tidak mungkin dijadikan Wilayah Persekutuan seperti dicadangkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tetapi tidak mustahil sebahagian tanahnya diambil alih kerajaan pusat.

Tindakan itu memerlukan persetujuan bukan sahaja Majlis Raja-raja, tetapi juga Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam kes Pulau Pinang, ia menjadi cabaran untuk kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) mendapat lampu hijau daripada DUN dikuasai DAP.
Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah suatu hari nanti dan Wilayah Persekutuan ke-4 akan wujud selepas Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Apa yang akan berlaku jika sebahagian kawasan sebuah negeri diberikan kepada kerajaan pusat?
Sesebuah negeri itu akan kehilangan haknya, termasuk hak untuk pendapatan tertentu dan membuat dasar kerana Parlimen yang akan menetapkan dasar bagi Wilayah Persekutuan.
Kehilangan hasil itu termasuk dari tanah, lombong, hutan, duti hiburan, yuran mahkamah dan pendapatan pihak berkuasa Islam.

Tetapi, bukan semua mengenai wang. Pengambilalihan sebuah kawasan oleh kerajaan pusat juga bermakna sesebuah negeri itu memberikan monumen sejarah, tapak arkeologi dan tempat lain mempunyai nilai warisan yang terletak di dalam kawasannya. Pulau Pinang kaya dengan peninggalan bersejarah itu.


Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih pentadbiran perkara berkaitan Islam dan bidang kuasa majlis perbandaran.
Negeri itu akan kehilangan hak membuat keputusan mengenai perkara berkaitan cara milik dan pemuliharaan tanah, selain tiada kuasa memutuskan perkara berkaitan permit dan lesen bagi mencari gali mineral serta matlamat pertanian.

Negeri itu juga tiada bidang kuasa ke atas pasaran, pameran dan tempat yang menawarkan hiburan, selain penduduk kawasan terbabit tiada wakil rakyat.

Kuala Lumpur yang merupakan bekas ibu negeri Selangor, diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pertama di Malaysia pada 1974. Disebabkan ia juga adalah ibu negara, kerajaan persekutuan bimbang pertembungan dengan negeri itu, jika pembangkang menjadi kerajaan negeri, yang kelihatan mungkin berlaku ketika itu.

Pada pilihan raya 1969, gabungan Umno, MCA dan MIC hanya memenangi 14 daripada 24 kerusi DUN di Selangor.

Labuan merupakan sebahagian daripada Sabah sehingga ia diserahkan pada 1984. Ia berfungsi sebagai pusat kewangan luar pesisir, manakala Putrajaya yang diserahkan Selangor pada Februari 2001, adalah pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.