BREAKING NEWS

Tuesday, 28 February 2017

Arab Saudi beri respon positif tambah kouta haji

Datuk Seri Najib Razak berkata, Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud memberi respons positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah.
Perdana menteri berkata, dalam perbincangan dua hala antara kedua-dua negara hari ini, Raja Salman memaklumkan kerajaannya perlu memberi pertimbangan lebih mendalam.
“Dari segi peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Kota Suci, sudah tentu urusan jemaah haji satu perkara amat penting dan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perbincangan dua hala itu di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, hari ini.
Raja Salman kini dalam lawatan negara 4 hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Awal tahun ini, kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota jemaah haji Malaysia kepada jumlah asal, iaitu 27,800 orang setelah kuota itu dikurangkan kepada 22,320 orang sejak 2013, susulan kerja pembangunan di sekitar Masjidil Haram.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia memohon kuota 30,000 jemaah bagi menampung jumlah jemaah haji semakin meningkat di Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Najib berkata, Raja Salman turut bersetuju mempertimbangkan permintaan Malaysia untuk membina 2 pusat jemaah haji berdekatan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Dalam konteks undang-undang mereka, orang asing tidak boleh membeli tanah mereka. Jadi, sama ada kita boleh menyewa jangka masa panjang, ini akan diteliti kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Terdahulu, Najib dan Raja Salman menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan pendidikan serta sumber manusia.
Terdapat juga satu MoU di antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) berhubung kerjasama dalam pertukaran berita.
 
Copyright © 2014 PenangKini.