BREAKING NEWS

Saturday, 4 February 2017

Bagaimana Malaysia temui fakta baharu Pulau Batu Puteh


“Fakta baharu” yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabansga (ICJ) berhubung Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh merujuk kepada 3 dokumen yang ditemui di National Archives of the United Kingdom.

Dalam siaran media melalui laman sesawangnya pada Jumaat, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan sebuah peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Katanya, dokumen berkenaan ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.

Menurut ICJ, Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membentangkan fakta baharu mengenai pegawai tertinggi dalam pentadbiran tanah jajahan Britain dan Singapura memperakukan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh tidak menjadi sebahagian daripada wilayah berdaulat Singapura dalam tempoh berkenaan.

“Malaysia menegaskan mahkamah itu pasti mencapai kesimpulan berbeza mengenai persoalan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Puteh sekiranya ia dimaklumkan tentang wujudnya bukti baharu ini,” katanya.

ICJ berkata, merujuk syarat lain berhubung Perkara 61, Malaysia juga menegaskan fakta itu tidak diketahui Malaysia atau mahkamah itu ketika penghakiman mengenai kes berkenaan diumumkan kerana ia hanya ditemui ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan, setelah arkib itu mendedahkan kepada umum bahan itu selepas penghakiman diumumkan pada 2008.

“Malaysia juga berhujah kegagalannya menyedari kewujudan fakta baharu itu bukan disebabkan kecuaian, tetapi kerana dokumen berkenaan merupakan dokumen sulit yang tidak boleh diperolehi pihak awam, sehinggalah ia dikeluarkan UK National Archives,” katanya.

ICJ berkata, Malaysia menegaskan permohonannya itu sejajar peruntukan Statut berkaitan pengaturan masa permohonan yang sudah ditetapkan.

“Ia menunjukkan permohonan itu dibuat dalam tempoh 6 bulan selepas penemuan fakta baharu, memandangkan semua dokumen yang mengukuhkan fakta baharu itu hanya diperoleh pada atau selepas 4 Ogos 2016,” kata ICJ.

Menurut ICJ, Malaysia memohon mahkamah itu membuat penghakiman dan mengisytiharkan permohonannya untuk menyemak semula penghakiman pada 2008 diterima dan memohon mahkamah itu “menetapkan tempoh bagi membuat pertimbangan tentang merit permohonan berkenaan”.
Di Kuala Lumpur, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pasukannya terdiri daripada peguam, pegawai Jabatan Peguam Negara, beberapa profesor dan Queen Counsel terkenal yang dipilih dari United Kingdom serta beliau sendiri, memandangkan penghujahan secara lisan akan dilakukannya pada perbicaraan di ICJ, The Hague.

“Pada masa ini, kita sedang menunggu tarikh pengurusan kes dari ICJ, di mana pada akhirnya, tarikh perbicaraan akan ditetapkan,” katanya.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan pula menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

 
Copyright © 2014 PenangKini.