BREAKING NEWS

Tuesday, 28 February 2017

Beratus Juta Kerajaan Dap Beri Duit Kepada PDC Tapi Mana Hilangnya Rumah Mampu Milik?


BALIK PULAU, 28 Feb – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Mohd Farid Saad mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjelaskan berapakah jumlah wang yang sudah disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) untuk pembinaan perumahan mampu milik dari hasil penjualan tanah tambakan laut Bayan Mutiara yang selalu diwar-warkan oleh Kerajaan Negeri sehingga 2016.
Jelasnya, agak menghairankan sekiranya PDC yang sudah menerima suntikan kewangan RM500 juta daripada Kerajaan Negeri tetapi masih memerlukan pinjaman daripada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projeknya.
“Dalam Bajet 2017, Kerajaan Negeri ada menyebut akan memberi pinjaman berjumlah RM609 juta kepada PDC. Mengikut penjelasan Ketua Menteri Lim Guan Eng, pinjaman ini adalah bertujuan untuk membolehkan PDC membuat pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan di kawasan Seberang Perai.
“Batu Kawan adalah satu kawasan di daerah Seberang Perai Selatan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini memiliki tanah yang cukup dan boleh dibuat pembangunan di situ. Malangnya Kerajaan Negeri di bawah Dap sejak 2012 lebih berminat dan memilih untuk menjual sebahagian besar tanah Batu Kawan kepada pemaju-pemaju swasta dan tidak diberikan kepada PDC untuk membangunkannya.
“Tindakan ini menafikan peluang PDC untuk membangunkan tanah-tanah tersebut sekaligus menafikan peluang PDC untuk membuat keuntungan sehingga menyebabkan Kerajaan perlu memberikan suntikan modal tambahan dalam bentuk pinjaman kepada PDC untuk tahun 2017,”
Tambah beliau, walaupun kerajaan negeri memberi pinjaman kepada PDC namun sehingga kini perumahan mampu milik masih menjadi isu di Pulau Pinang.
Pada tahun 2012, Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya 18,000 unit rumah mampu milik dijangka dibina oleh pihak kerajaan negeri di bawah Fasa 1 dan 2 Tabung Perumahan Mampu Milik RM500 juta dan ianya telahpun dilancarkan pada 17 Februari 2012.
Namun sayangnya jelas Mohd Farid sehingga kini tiada satupun rumah mampu milik yang telah dibina oleh kerajaan negeri.
“Isu rumah mampu milik ini sebenarnya masih tidak dijawab sehingga kini. Sampai bila kerajaan negeri mahu mengunci mulut.
“Kerajaan negeri perlu bersikap telus dan menerangkan hal sebenar kepada rakyat melainkan ada perkara yang tidak betul dan mahu disembunyikan daripada pengetahuan rakyat,” ulasnya lagi. 


 
Copyright © 2014 PenangKini.