BREAKING NEWS

Tuesday, 7 February 2017

Dap Tidak Layak Jadi Pemerintah Sebuah Negara Majmuk Seperti Malaysia


PULAU PINANG, 6 Feb – Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan Dap sebagai sebuah parti yang tidak layak dan tidak memenuhi kriteria  sebagai sebuah parti pemerintah di negara majmuk dan berbilang bangsa dan agama seperti  Malaysia.

Katanya, ini disebabkan dengan tindak tanduk dan kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan Dap tidak matang dalam berpolitik serta seolah-olah tidak faham adat dan adab dalam kehidupan bermasyarakat dalam sebuah negara majmuk seperti di Malaysia ini.
“Penasihat Dap cuba cabar kita untuk buktikan partinya tidak rasis. Sedangkan, depan mata kita, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh kepimpinan Dap mahupun ahlinya, lebih kepada isu-isu sensitif seperti perkauman dan agama. Bagi saya, disebabkan sikap mereka inilah  tercetusnya bibit-bibit sentimen perkauman yang akhirnya melahirkan rasa benci membenci antara kaum.
“Sebagai contoh baru-baru ini, penceramah Dap yang dikenali sebagai Superman, Kuan Yau Hew, mempersendakan mangsa banjir dengan mempersoalkan status halal atau haram mangsa banjir menerima bantuan daripada kerajaan. Mungkin bagi mereka ini politik, tetapi bagi umat Islam dan orang Melayu, kenyataan itu mempersendakan mangsa-mangsa banjir dan dilihat menyentuh sensitiviti agama Islam.
“Jika beginilah sikap mereka, maka kemakmuran negara boleh terjejas kalau mereka terus diberikan kuasa untuk memerintah, kerana cara pendekatan dan ideologi politik mereka yang yang begitu kuat dengan unsur-unsur perkauman tidak pernah berubah biarpun setelah jadi pemerintah,”tegas Huan 
Tambah beliau lagi, sikap kepimpinan Dap yang suka menjadi batu api dengan melontar isu-isu yang menyentuh sentimen perkauman dan agama amat merbahaya dalam sebuah negara yang majmuk dan berbilang bangsa serta agama seperti di Malaysia.
“Kita tidak perlukan parti politik yang suka jadi batu api dan cuba merosakkan hubungan antara kaum di negara ini semata-mata kerana kepentingan politik mereka. Pendekatan politik yang digunakan Dap itu tidak baik untuk keharmonian negara.
“Sikap ahli dan kepimpinan Dap yang amat suka campur tangan dan membuat kenyataan yang bukan-bukan dalam isu-isu sensitif seperti soal bangsa dan agama, memperlihatkan ketidakmatangan mereka dalam kehidupan  masyarakat majmuk. Mereka tidak ada batasan dalam berpolitik dan tidak teragak-agak untuk menimbulkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik mereka.
“Inilah corak dan cara pemikiran serta  ideologi politik yang didoktrin oleh Dap terhadap ahli-ahli dan kepimpinannya. Saya rasa Dap tidak mampu untuk berubah biarpun cuba main wayang dengan meletakkan seorang dua pemimpin Melayu dan India di dalam parti mereka. Sememangnya parti politik seperti Dap bagi saya tidak layak dan tidak memenuhi kriteria untuk menjadi sebuah parti pemerintah yang baik dan adil untuk mentadbir negara ini,” ujarnya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.