BREAKING NEWS

Friday, 10 February 2017

Guan Eng Perlu Dengar Suara Hati Rakyat P.Pinang, Bukan Jawab Soalan Menteri Sahaja


GEORGE TOWN, 10 Feb – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini diminta supaya mendengar suara hati rakyat negeri ini terlebih dahulu dan bukannya menjawab soalan daripada Menteri, kata seorang pemimpin Gerakan.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata Guan Eng kini dilihat hanya bertanggungjawab menjawab soalan daripada pemimpin seperti Menteri dan bukannya rakyat jelata di negeri di bawah pentadbirannya.
“Saya sebagai seorang rakyat Pulau Pinang, ada 10 masalah yang saya bangkitkan dalam sidang akhbar saya sebelum ini tetapi tidak dijawab Ketua Menteri, beliau hanya pilih mendengar dan menjawab soalan Menteri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan Guan Eng itu dilihat bertentangan dengan prinsipnya yang melaungkan prinsip mendengar suara hati rakyat.
“Ketua Menteri kerajaan DAP ini dulunya menepuk dada bahawa beliau akan dengar suara hati rakyatnya, namun apa yang terjadi sekarang ialah, beliau cuma dengar kepada pemimpin UMNO, menteri UMNO. Di mana kedudukan dan status rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Oh berkata beliau percaya ramai rakyat negeri ini berhak dan ingin tahu perkembangan tentang masalah yang dibangkitkan kepada kerajaan negeri.
“Sungguhpun sudah tiga kali kami mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP menjelaskan secara terperinci mengenai projek tebus guna tanah sebanyak 53 hektar di Persiaran Gurney, namun hingga kini tiada jawapan diberi oleh kerajaan negeri DAP,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.