BREAKING NEWS

Wednesday, 1 February 2017

Guan Eng: Serangan Hadi hanya untuk tutup kegagalan di Kelantan


GEORGE TOWN: Lim Guan Eng berkata tuduhan terkini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan pentadbiran Pakatan Harapan mengabaikan kebajikan umat Islam di Pulau Pinang semata-mata untuk “menutup kegagalan di Kelantan”.
Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata serangan Hadi terhadap negeri itu hanya bertujuan menutup kegagalan pentadbiran PAS di Kelantan, di mana “ia masih gagal membina rumah bagi mangsa banjir sejak 3 tahun lalu”.
“Sekarang apabila kita lihat banjir di Kelantan, ia semakin teruk akibat hutan ditebang dan aktiviti pembalakan di negeri itu.
“Untuk siapa semua itu? Bukan untuk rakyat kerana mereka makin miskin. Ini berlaku bila ekonomi tidak diurus dengan baik,” katanya kepada wartawan di Komtar hari ini.
Lim yang juga setiausaha agung DAP turut menuduh Hadi menyokong Umno, sedangkan selama ini parti itu “musuh tradisi PAS”.
“Dia mahu bersama Umno, itu sebab dia lebih sanggup BN terus hidup berbanding Pakatan mengambil alih Putrajaya.
“Kami rasa itu tidak masuk akal kerana ia akan menyebabkan PAS akhirnya kehilangan Kelantan,” katanya.
Lim turut memetik kenyataan Ketua Umno Kelantan yang juga menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung kegagalan PAS mentadbir Kelantan, negeri kubu kuat parti Islam itu selama 27 tahun.


Bernama semalam melaporkan Mustapa berkata rakyat memberi peluang kepada PAS membangunkan Kelantan selama 27 tahun tetapi “tidak ada perubahan, dan kalau ada pun pembangunan, ia dibuat oleh kerajaan persekutuan”.
Lim berkata beliau tidak faham apa maksud Hadi bila menyatakan Pulau Pinang mengabaikan kebajikan umat Islam.
“Kenyataan dia tidak berasas. Saya kesal kerana seorang ustaz boleh membuat kenyataan memfitnah seperti itu.
“Jika dilihat kepada jumlah wang dibelanjakan untuk hal ehwal Islam, jelas menunjukkan kami menambah dana untuk kebajikan umat Islam sehingga 100% berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya.
Lim berkata kerajaan Pulau Pinang memberikan bantuan tahunan kepada sekolah agama, bukan sekolah vernakular dan mubaligh saja yang tidak menerima bantuan sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan.
“Kami bukan saja beri wang sehingga RM60 juta, kami beri tanah juga. Ini tidak pernah berlaku ketika pentadbiran sebelum ini.
“Adakah dia (Hadi) ada mata yang tidak memandang, telinga yang tidak mendengar dan hati yang tidak merasa? Saya rasa biarlah fakta yang bercakap,” katanya.
Hujung minggu lalu, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata peruntukan hal ehwal agama dan sekolah naik sehingga 300% di bawah kerajaan Pakatan, yang turut memberikan tanah bernilai RM80 juta bagi pembinaan kompleks mahkamah syariah baharu di Jalan Scotland.
PAS meninggalkan pakatan pembangkang selepas ia memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 selepas kedua-dua parti itu berkelahi apabila PAS mendesak untuk melaksanakan hukuman syariah di Kelantan.
Susulan kenyataan Hadi terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP itu, barisan kepimpinan PAS Pulau Pinang mempertahankan presiden mereka dengan turut mendakwa umat Islam di negeri itu tidak dibantu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.