BREAKING NEWS

Monday, 27 February 2017

Hospital Pulau Pinang Desak Kerajaan DAP Pulau Pinang Ubah Tapak Pesta Belon Udara Panas

Kerajaan DAP Pulau Pi­nang didesak mencari tem­pat letak kereta alternatif sekiranya ingin menganjurkan pesta belon udara panas di Padang Polo berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) pada masa akan datang.

Ini kerana penganjuran pesta itu sejak tiga tahun lalu menye­babkan berlaku kesesakan teruk di kawasan itu serta menyusah­kan pengunjung HPP, selain meng­ganggu operasi ambulans.

Pengerusi Ahli Lembaga Pe­lawat HPP, Lim Thoon Deong berkata, pihaknya kecewa de­ngan sikap membisu Kerajaan DAP yang gagal memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan itu ketika pesta berkenaan berlangsung awal bulan ini.


Menurutnya, banyak pihak telah menyuarakan bantahan mereka agar pesta itu dipindahkan ke lokasi lain namun tidak diendahkan oleh pihak penganjur.

“Pesta belon udara panas itu bukan sahaja mengganggu lalu lintas di hadapan HPP malah ada pengunjung yang meletakkan kenderaan mereka di dalam kawasan hospital sehingga menyusahkan pelawat.

“Selain itu, kita juga meneri­ma sembilan aduan kelewatan ke hospital dilaporkan orang awam dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngawal Keselamatan HPP, Mohd. Shahril Azreen.

Thoon Deong menambah, kerajaan negeri juga mungkin boleh memikirkan untuk membina tempat letak kereta sendiri di kawasan terbabit dan tidak lagi mengganggu HPP.

“Kalau bercakap tentang kos tinggi, saya yakin tidak wujud sebarang masalah kerana kerajaan negeri diketuai Lim Guan Eng memperoleh kutipan cukai yang tinggi setiap tahun,” ujar­nya yang juga Penasihat Biro Pengaduan MCA secara sinis.

Sementara itu, Mohd. Shahril memberitahu, lebih 100 ken­deraan milik pengunjung pesta dikesan diletakkan tanpa kebenaran dalam kawasan hospital pada hari berkenaan.

“Kawalan dan sekatan dilakukan di setiap pagar utama tetapi pengawal keselamatan dilempar kata-kata negatif kerana tidak membenarkan pengunjung ma­suk,” jelasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.