BREAKING NEWS

Monday, 13 February 2017

Jangan Mudah Terperdaya Janji Manis Pembangkang


ALOR SETAR 12 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi peringatan kepada generasi muda terutama Generasi Y (Gen Y) agar jangan mudah terperdaya dengan pelbagai janji manis pihak ter­tentu yang hanya mahu berkuasa, namun belum tentu dapat menunaikannya.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kerajaan berusaha keras mewariskan lebih banyak kemajuan kepada generasi muda akan datang contohnya melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Saya suka menggunakan pe­patah Melayu, mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan... ‘air tempayan’ itulah rezeki kita. Apabila saya sebut tentang dunia dan paradigma baharu ini, kita kena faham, untuk sampai ke destinasi yang merupakan aspirasi, kita mesti pastikan ada kesi­nambungan dalam kepemimpinan dan pemerintahan.


“Pemerintahan yang terencat dalam bentuk revolusi atau perubahan mengejut tidak menjanjikan sesuatu yang indah. Sesuatu yang kita fikir indah kerana apa, kerana kita termakan hasutan atau termakan janji-janji manis orang yang nak jawatan dan kuasa,” katanya berucap pada majlis Santai Bersama Gen Y di Dataran Menara Alor Setar di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti): Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan barisan Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Perdana Menteri bersama 2,000 penduduk negeri ini menyertai Kayuhan Muafakat Kedah sejauh tiga kilometer di sekitar bandar raya ini.

Berucap lanjut secara santai di hadapan kira-kira 10,000 anak muda yang hadir, Najib memberi contoh peristiwa ‘Arab Spring’ di Asia Barat yang kini menjadikan negara terlibat bukan sahaja lemah, malah kucar-kacir.

“Bahaya...kerana apabila orang nak sangat kuasa dia akan janji macam-macam, tetapi bab janji tinggal janji sebab apa? Sudah terbukti, saya bagi contoh satu ketika timbul ‘Arab Spring’ yang disambut sebagai perubahan besar. Hari ini semua negara terlibat huru-hara dan mengalami kon­flik dalaman agak dahsyat hingga rakyat kata lebih baik zaman dulu dari sekarang.

“Ada negara yang terlibat dalam ‘Arab Spring’ kini berhutang beratus juta dolar Amerika Syarikat dengan Petronas, ini kerana mereka tak mampu membayar kerana negara berkenaan tidak ada ke­stabilan politik dan kepemimpinan yang kukuh,” katanya.

Tambah beliau, generasi muda hari ini harus bijak menilai kemampuan kerajaan yang bukan sahaja berusaha membangunkan negara dan menjaga kebajikan mereka, malah berusaha melakar lebih banyak kemajuan pada masa depan demi kesejahteraan hidup mereka.

“Ini semua ingatan kepada kita supaya semua sedar tanggungjawab kami (kerajaan) hari ini adalah untuk wariskan kepada semua sebuah negara yang jauh lebih baik daripada negara yang kami warisi daripada pemimpin terdahulu.

“Sebab itu kami bekerja bertungkus lumus termasuk isteri kami bekerja bersungguh-sungguh membawa Malaysia ke tahap lebih baik, “ katanya.

Tambah Perdana Menteri, ge­nerasi muda hari ini bukan sahaja aset negara, malah permata cukup bernilai dan masa depan negara bergantung kepada kejayaan kerajaan mencorakkan Gen Y.

“Sebab itu persediaan kita mesti mantap dan selengkap-lengkapnya atau dalam bahasa hari ini holistik dan komprehensif. Antaranya bukan saja pendidikan, pengetahuan dan ilmu tetapi juga cara berfikir,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.