BREAKING NEWS

Wednesday, 8 February 2017

Jawatankuasa fatwa Pulau Pinang akui wujud campur tangan politik


PETALING JAYA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mengakui wujudnya campur tangan politik pihak kerajaan negeri terhadap proses pemfatwaan sekali gus membuktikan kebenaran dakwaan PAS.
Ahli jawatankuasanya, Datuk Md Salleh Ahmad berkata beliau turut melahirkan rasa dukacitanya terhadap Exco Agama, Datuk Abdul Malik Kassim kerana terlibat secara langsung mengarahkan jawatankuasa fatwa negeri membincangkan semula isu melibatkan kalimah Allah.
“Sebagai ahli jawatankuasa yang masih berkhidmat, saya menyokong penuh kenyataan bekas ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, Afnan Hamimi, wujudnya campur tangan politik daripada kerajaan negeri terhadap proses pemfatwaan.
“Saya melahirkan dukacita terhadap exco agama kerajaan negeri Pulau Pinang kerana campur tangan beliau ke atas proses pemfatwaan. Ada arahan daripada beliau pada 2010 kepada jawatankuasa fatwa supaya fatwa kalimah Allah yang digazetkan, dibincangkan semula agar keputusan selari dengan pendirian kerajaan negeri pimpinan DAP ketika itu yang tidak bersetuju dengan fatwa kalimah Allah.
“Bagaimanapun, mesyuarat jawatankuasa fatwa pada 2010 tetap bertegas supaya fatwa kalimah Allah yang digazetkan, dikekalkan sebagai fatwa,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata beberapa fatwa negeri diputuskan oleh jawatankuasa itu “ditangguhkan” kerana campur tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan ketua menteri.
http://avn.innity.com/rt/?cb=1483688435&a=2627&e=8760
Bagaimanapun, Malik mendakwa Afnan memfitnah kerajaan negeri apabila menuduh ketua menteri mengarahkan Datuk Seri Hassan Ahmad digugurkan sebagai mufti kerana isu kalimah Allah dan campur tangan dalam hal berkaitan fatwa.
Mengulas lanjut, Salleh turut mendakwa beberapa fatwa yang ditangguh exco agama untuk dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan ia pernah dibincangkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.
“Saya kesal dengan tindakan ini, seolah-olah kuasa exco agama di dalam hal pemfatwaan lebih besar berbanding jawatankuasa fatwa negeri.
“Saya minta supaya tindakan campur tangan politik ini dihentikan. Semua fatwa yang diputuskan hendaklah terus dipersembahkan kepada Agong, tidak perlu melalui mesyuarat exco kerajaan negeri,” katanya.
Justeru, beliau berharap masyarakat Islam sama-sama bangkit mempertahankan institusi fatwa daripada sebarang campur tangan dan tekanan politik mana-mana pihak.
 FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.