BREAKING NEWS

Thursday, 9 February 2017

Kerajaan Kedah minta kaji semula pajakan P. Pinang


8 FEB : Kerajaan Kedah akan meminta kerajaan Pusat mengkaji semula harga pajakan yang dibayar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang setiap tahun mengikut harga semasa.
Cadangan itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid memandangkan bayaran pajakan itu ditandatangani melalui Perjanjian Pajakan 1786.
“Cukuplah selama ini kita rugi dan kini ada pihak yang mahu mengambil Pulau Langkawi pula. Bila merdeka, Pulau Pinang dimasukkan sebagai sebuah negeri secara senyap-senyap tanpa mengira perjanjian pajakan yang telah dimeterai dahulu.
“Kalau tidak ada, untuk apa mereka (Pulau Pinang) masih membayar RM10,000 itu setiap tahun dari dahulu sehingga sekarang malah terpaksa dimasukkan ke dalam bajet kerajaan mereka. Seolah-olah ada akujanji berkaitan pajakan ini,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Program Memorial Tunku Abdul Rahman di Rumah Merdeka pada Rabu.
Mohd Rawi berkata, kerajaan Kedah telah menghantar surat kepada kerajaan Pusat pada bulan lalu berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu mengulas mengenai cadangan Langkawi dijadikan sebagai sebahagian Wilayah Persekutuan, Mohd Rawi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Beliau berkata, sebagai `tuan tanah’, kerajaan negeri mempunyai hak untuk membantah cadangan berkenaan.
“Justeru, kami bukan saja membantah sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan malah akan berusaha mengambil semula Pulau Pinang,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebahagian dari Wilayah Persekutuan.


 
Copyright © 2014 PenangKini.