BREAKING NEWS

Wednesday, 1 February 2017

Kit Siang Tiada Pendirian

JOHOR BAHRU – Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan pemimpin yang tidak mempunyai pendirian tetap, malah parti DAP juga dilihat kini semakin melupakan Pas setelah mempunyai sokongan kuat daripada banyak pihak.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perkara itu jelas apabila sebelum ini Kit Siang ada menyatakan hasrat untuk memujuk Pas supaya kembali menyokong dan berjuang bersama Pakatan Harapan.
“Tetapi, kini dia (Kit Siang) mahu mengemukakan saman terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menuduhnya anti-Islam. Ia menunjukkan bahawa kenyataan Penasihat DAP itu tidak konsisten serta sedang ‘kepanasan’.
“Memang benar DAP menentang Islam dan segalanya terbukti apabila parti itu tidak menyokong pelaksanaan undang-undang hudud di negara ini serta pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) (RUU 355).
“Malah, DAP juga sudah semakin melupakan Pas apabila memiliki sokongan daripada pelbagai pihak dan mereka (DAP) juga yang mulai bertindak menendang Pas semasa PRU yang berlangsung di Sarawak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mahfodz berkata, sekiranya Ahli Parlimen Gelang Patah itu mahu meneruskan tindakan samannya terhadap Presiden Pas, pihaknya bersedia mempertahankan.
“Sebelum ini, orang tuduh Pas makan dedak, kami juga turut ambil tindakan undang-undang serta failkannya ke mahkamah dan kes tersebut masih dalam proses, jadi jika dia (Kit Siang) mahu meneruskan hasratnya (saman) kita bersedia untuk mempertahankan,” katanya.
Menurutnya, Pas Johor akan tetap bersama dengan Pas Pusat untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan pihaknya masih selari pada agenda serta matlamat perjuangannya untuk mempertahankan agama Islam.
“Namun, Pas sentiasa mengalu-alukan perbincang dengan mana-mana parti yang mempunyai agenda perjuangan sama,” katanya.-Sinar Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.