BREAKING NEWS

Wednesday, 15 February 2017

Lupakan DAP, sokong parti Cina lain, kata wakil rakyat BN


Tindakan 4 wakil rakyat Melaka keluar daripada DAP menunjukkan arah tuju politik parti itu tidak menentu, kata pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak.
Sehubungan itu, Abdullah Saidol yang juga Adun Semop menggesa orang Cina menyokong parti politik Cina lain yang boleh mewakili kaum itu dengan baik di dalam kerajaan.

“Kami sedar tentang segala macam kekecewaan dalam kepimpinan DAP, sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri. Kami meramalkan perkara seperti ini akan berlaku bila-bila masa dan mungkin lebih banyak perkara akan berlaku.

“Propaganda politik DAP selalu nampak seolah-olah menyokong ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi bersih, tetapi mereka nak tipu siapa?

“Malah, pemimpin akar umbi mereka sendiri mula mengakui kebenaran tersirat tentang gaya autokratik dan suka memerintah dalam kepimpinan tertinggi mereka yang dikuasai anak-beranak Lim,” katanya kepada The Borneo Post semalam, ketika diminta mengulas peletakan jawatan 4 wakil rakyat DAP pada Ahad lalu.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Kesidang, Chin Choon Seong dan Adun Duyong, Goh Leong San menulis surat kepada Lim Guan Eng menyuarakan kekecewaan mereka terhadap DAP yang menyimpang daripada matlamat sebenar.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjadi pemimpin pembangkang terkemuka di Parlimen, manakala anaknya Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, menjadi ketua menteri Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Abdullah yang juga ketua setiausaha politik kepada ketua menteri Sarawak berkata, kempen politik DAP yang dahsyat dan transgresif semakin tidak boleh diterima, walaupun oleh penyokong mereka sendiri.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Publiti dan Penerangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Lo Khere Chiang berkata, peletakan jawatan 4 wakil rakyat DAP “membuktikan pemimpin akar umbi DAP tidak gembira dengan tindakan Lim Kit Siang berbaik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad”.

“Malah di Sarawak, kami rasakan yang sama. Untuk satu tempoh lama, ramai pemimpin DAP tidak puas hati dengan Kit Siang dan Guan Eng, dan kini nampaknya ramai yang sudah hilang sabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Lo yang juga Adun Batu Kitang percaya ada ramai lagi orang DAP yang mempunyai perasaan sama, tetapi demi parti “mereka tidak mahu mendedahkan masalah dalaman parti di khalayak ramai”.

 
Copyright © 2014 PenangKini.