BREAKING NEWS

Thursday, 16 February 2017

Mahathir Punca DAP bergolak - ADUN Tanjung Bungah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bu­ngah, Teh Yee Cheu berkata, selain disebabkan ahli-ahli DAP telah diajar bermusuh dengan bekas Perdana Menteri itu sejak sekian lama, kehadiran Dr. Mahathir dalam pembangkang ketika ini juga menimbulkan keraguan kerana tidak mempunyai misi yang jelas.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada ke­pemimpinan DAP supaya lebih berhati-hati dengan peranca­ngan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Kata Yee Cheu, ahli-ahli DAP juga bimbang jika Dr. Mahathir merancang memonopoli politik DAP sekali gus menguasai kerajaan Pusat sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Kita bimbang jika Dr. Mahathir ada rancangan mahu wujudkan ‘UMNO 3’ bersama pembangkang. Jika pembangkang tidak berhati-hati dalam perjuangan penuh berisiko ini termasuk tidak bersiap sedia dengan sebarang perjanjian, sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka yang keluar parti, Yee Cheu berkata, beliau yakin tindakan tersebut berpunca daripada pendirian peribadi mereka yang tidak bersetuju dengan kerjasama antara DAP dan Dr. Mahathir.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai pemimpin dan ahli DAP akan mengikut jejak langkah empat wakil rakyat berkenaan atas pendirian serupa.
“Mungkin ada mungkin tiada yang keluar parti selepas ini dan DAP tidak boleh menghalang mana-mana ahli parti berbuat demikian kerana tindakan mereka itu berpunca daripada alasan yang jelas,” katanya.
Ditanya mengenai desas-desus bahawa beliau adalah antara wakil rakyat DAP yang akan bertindak keluar parti, Yee Cheu bagaimanapun seolah-olah berteka-teki dan enggan mengulas lanjut.
 
Copyright © 2014 PenangKini.