BREAKING NEWS

Monday, 13 February 2017

Mustahil Dr M mampu ‘selamatkan’ Guan Eng dari penjara

Dakwaan seorang menteri Umno yang wujudnya pakatan untuk “menyelamatkan” Lim Guan Eng, tidak masuk akal kerana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh berbuat apa-apa yang memberi kesan terhadap prosiding undang-undang.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Gobind Singh Deo berkata Dr Mahathir dan bapa Guan Eng, yang juga ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tidak membuat sebarang pakatan untuk memastikan ketua menteri Pulau Pinang itu tidak dipenjarakan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan dibuat Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri semalam berkata Kit Siang “bergantung sepenuhnya” kepada Dr Mahathir kerana beliau percaya bekas perdana menteri itu satu-satunya individu yang boleh menyelamatkan Guan Eng daripada hukuman penjara.
“Itu sebabnya dia buat pakatan dengan orang yang memenjarakan dirinya sebelum ini,” kata Ismail Sabri.
Gobind dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Kenyataan itu tidak masuk akal. Tidak ada apa yang Dr Mahathir boleh buat dan beri kesan terhadap prosiding terhadap Lim Guan Eng yang masih berjalan.”
“Dan Ismail sepatutnya tahu kerana dia sendiri peguam. Apa yang Ismail cakap memang mengarut,” katanya.
Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP didakwa atas tuduhan rasuah. Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.
Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.
Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum 2 tahun, denda dan rampasan hartanah
 
Copyright © 2014 PenangKini.