BREAKING NEWS

Tuesday, 21 February 2017

Nelayan gesa siasat penyelewengan pukat?

Nelayan Kuala Sungai Burung menggesa kerajaan negeri menyiasat pembekal pukat kerana didakwa membekalkan kelengkapan yang tidak berkualiti.
Wakil nelayan, Abdul Malik Man, 60, mendakwa syarikat swasta dilantik tidak membekalkan pukat kepada nelayan seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Katanya, pembekal bekalkan pukat benang yang tidak berkualiti pada 25 Januari lalu sedangkan kerajaan negeri sebelum ini menjanjikan pukat tangsi.
“Pukat yang diperbuat daripada benang senang rosak dan boleh digunakan sekali sahaja.
“Sebelum ini, kami menerima dua pukat tangsi dari LKIM Pulau Pinang Selatan dan tidak ada masalah. Namun, sejak penghujung 2016, kerajaan negeri melalui syarikat berkenaan beri empat banih tetapi diperbuat daripada benang,” katanya kepada media Pantai Malindo, di sini semalam.
Abdul Malik berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 13 Februari lalu.
“Kerajaan negeri akan beri pukat tangsi apabila mereka mengadakan program agihan pukat tetapi, bagi yang tidak hadir, mereka akan terima pukat benang dari syarikat dilantik. Mengapa perlu ada pilih kasih? 
Sementara itu, Pegawai Khas Exco Pertanian,Muhamad Sufi Mohd Jamil berkata, pemberian jenis pukat dibuat mengikut kehendak nelayan seperti yang diisi dalam borang permohonan.      
“Semakan saya mendapati, 28 nelayan itu tidak isi maklumat jenis peralatan menangkap ikan yang dipohon. Di ruangan tersebut, mereka hanya nyatakan pukat udang sahaja tanpa huraian seperti jenis, saiz dan jenama pukat yang mereka mahu.              
“Malah, selepas mereka membuat aduan di Pejabat Penyelaras Kadun, Penyelaras Kadun bersama pembekal mengadakan pertemuan dengan mereka dan mereka telah bersetuju dengan permintaan mereka itu. Oleh itu, semua pukat yang dibeli dan diserahkan kepada mereka ikut kehendak dipersetujui,” katanya.




 
Copyright © 2014 PenangKini.